Rela bermadu tapi bersyarat – Nadia Brian

BAKAT lakonan wanita bernama Nadia Brian yang lebih sedekad menghiasi langit industri seni tanah air tidak perlu dipersoalkan.

Wajahnya terpapar dalam variasi naskhah bersama pembawaan bermacam karakter, watak air mata atau penggoda sehingga kini sedang meledakkan menerusi Lelaki Itu.

Di sebalik penghayatan watak yang sudah melayakkan kalungan pujian, hakikatnya status janda yang diusung lebih menggoda untuk dicanang. Soal siapa yang bertakhta di hati, lelaki bagaimana yang dimahukan sebagai penganti, itu semua menjadi usikan ramai saat dirinya diajak berbicara.

Bosan atau lali, itulah realiti yang perlu ditelan pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu.

Enggan pisang berbuah dua kali, Nadia mengakui masih diselubungi kerisauan untuk berkahwin lagi, namun hati kecilnya adakala meraung mengimpikan rumah tangga bahagia.

INGIN tenang dalam kehidupan, Nadia mengakui mengecilkan ‘circle’ kawan-kawan dan hanya berbuat baik dengan semua orang.

Percaya jodoh ketentuan Tuhan, pelakon tinggi lampai itu hanya mempersiapkan diri dengan ilmu dan kematangan untuk menjadi isteri lebih baik agar isu lama tidak berulang saat mahligai cinta hendak dibina.

“Saya memang rasa takut nak berkahwin, takut perkara sama terjadi. Saya sedar bahawa sebuah perkahwinan tidak mudah, perlu ada kerukunan dan toleransi sesama pasangan. Tetapi semua itu bukanlah saya letak sebagai satu trauma untuk saya tidak mengecap bahagia.

Jujurnya, saya memang nak kahwin, mahu ada anak dan membina keluarga kecil yang bahagia. Saya sedar untuk meraih mimpi itu, saya perlu perbaiki diri menjadi insan lebih baik, timba ilmu rumah tangga.

“Pokok pangkalnya berbalik kepada diri kita sendiri, buatlah persediaan terbaik sebelum bertukar status menjadi isteri orang,” katanya tersenyum.

Ditanya adakah lebih selektif dalam memilih jodoh, wanita kelahiran Kangar, Perlis itu hanya mengimpikan lelaki bertanggungjawab dan kuat ilmu agama.

Di sebalik mimpi sempurna itu, Nadia tiba-tiba mencetuskan kejutan apabila membuat pengakuan tidak menolak sekiranya kelak berimamkan lelaki berstatus suami orang.

RAMADAN kali ini cukup bermakna buat Nadia kerana berpeluang berpuasa bersama nenek tercinta
di Kelantan.

Dia sanggup menjadi isteri kedua, namun bertegas poligami harus berlangsung harmoni, adil dan tanpa pergaduhan.

Isu jodoh sebenarnya kompleks. Saya memang mahukan lelaki bertanggungjawab dan beriman tapi mana tahu kalau saya jatuh cinta dengan suami orang? Tapi selagi boleh elak, kita kena elak.

“Kalau saya berjodoh dengan suami orang pun, biarlah bersyarat.

Contohnya, saya kena baik dengan isteri pertama dia. Kena ada keharmonian dalam poligami dan persetujuan semua pihak.

“Saya memang tidak menolak sekiranya jodoh saya dengan suami orang tetapi janganlah sampai bergaduh sana sini. Sebenarnya ada ramai sahaja orang yang bahagia berkongsi,” dedahnya eksklusif kepada Pose.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok