Rebah di surau, Mel kena jalani ujian stres

BEKAS vokalis kumpulan Wings, Mel atau Ismail Zainuddin yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas rebah ketika solat tarawih malam tadi sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Berita itu dikongsikan anaknya, Ewal Ismail yang menyatakan bapanya dalam keadaan stabil namun perlu kembali ke hospital bagi menjalani ujian stres senaman bagi memeriksa tahap keupayaan jantung.

“Alhamdulillah, keadaan ayah nampak semakin baik dan sekitar pukul 8 pagi tadi telah dibenarkan keluar wad pemantauan.

Doktor maklumkan tiada apa-apa yang membimbangkan, cuma mungkin dia terlampau letih atau salah makan yang mengakibatkan kurang sihat dan rebah tiba-tiba.

“Malam tadi ayah dibawa ambulans terus ke zon kuning HKL dan diberikan rawatan segera kerana mempunyai sejarah serangan angin ahmar,” katanya ketika dihubungi HibGlam.

Menurut vokalis kumpulan Kristal itu, sebelum ini bapanya pernah diserang angin ahmar sekitar 10 tahun lalu.

Selepas melalui proses pemulihan serta rawatan konsisten, tahap kesihatan bapanya semakin bagus, bahkan masih boleh memenuhi tawaran persembahan serta mengadakan tazkirah.

“Kalau tengok keadaan ayah beberapa tahun kebelakangan ini memang orang tak sangka dia pernah kena strok, kami sekeluarga pun tengok ayah cergas saja.

Mungkin sebab kuat semangat, ambil ubat ikut jadual serta aktif membuatkan dia dapat kekalkan kesihatan. Cuma agak lama juga dia tidak ke hospital untuk pemeriksaan.

“Harapnya tiada masalah serius pada sesi pemeriksaan susulan dan ujian stres 21 Mac nanti. Beberapa hari lagi dia kena pergi Hospital Putrajaya pula untuk ambil ubat,” ujarnya.

Sebagai anak, pemilik nama lengkap Ikhwan Hafiz Ismail, 31, mengakui terkejut dimaklumkan bapanya rebah di Surau Al-Jannah Pinggiran Bukit Jalil, malam tadi.

“Ketika kejadian ayah pergi ke surau berhampiran rumah ditemani ibu tiri saya. Sebelum itu ayah ada mengadu rasa pening. Saya memang terkejut dapat berita itu.

Terima kasih kepada semua jemaah yang membantu sampai ayah dibawa ke hospital dan diberi rawatan segera,” katanya.

Difahamkan Mel, 58, yang dilantik sebagai pengerusi surau sejak tujuh tahun lalu rebah ketika sedang rukuk.

Terdahulu, bersama Wings Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing pada 1995 yang memuatkan lagu popular Semalam Yang Hangat dan Lena Diulit Intan.

Penyanyi itu kemudian bergerak solo dan tampil dengan dua album, Mencari Enigma Lagu (1996) serta Sukma ’98 (1998) sebelum mengundurkan diri bagi membolehkannya fokus dengan bidang keagamaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok