PENYANYI Amir Jahari mengakui tidak pernah menyangka hasil karyanya iaitu lagu berjudul Hasrat dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini, semalam.
Menurut Amir atau nama penuhnya Mohamad Amirullah Jahari , 32, walaupun ramai yang meramalkan Hasrat bakal menjadi juara sejak lagu itu terpilih sebagai finalis, namun dia enggan mempercayai ramalan tersebut.
“Saya tak baca sebenarnya ramalan orang ramai dalam media sosial sebelum naik pentas tetapi memang ada yang beritahu saya tentang perkara itu.
“Namun, saya tak mahu percaya benda itu sebab sepanjang hidup, saya tidak pernah berada di tempat pertama jadi, saya tak nak berharap.
“Kemudian diumumkan pula Hasrat sebagai juara, sangat terkejut dan syukur. Rasa menjadi juara ini pelik sebenarnya,” katanya kepada HibGlam pada sidang akhbar AJL38 di sini semalam.
Berkongsi konsep persembahan yang diketengahkan malam tadi, Amir berkata, dia mengangkat tema solidariti terhadap bumi Palestin yang sedang bergolak akibat perang.
“Kita aman damai tetapi di Palestin masih berperang dan setiap kali saya buka media sosial, pasti baca benda yang menakutkan. Saya memang tak boleh rasa perkara sebegitu.
“Bagi saya, Hasrat ialah suara golongan yang satu dunia tak mahu dengar. Konsepnya solidariti untuk Palestin.
“Jadi bagi saya isu ini adalah salah satu perkara penting untuk kita bangkitkan iaitu solidariti untuk Palestin dan negara lain yang masih berperang,” tuturnya.
Semalam, Hasrat dinobatkan sebagai juara keseluruhan AJL38 mengalahkan pesaing terdekat iaitu Sutera dendangan Aisha Retno yang juga komposer serta penulis lirik bersama MFMF yang berada di kedudukan naib juara.
Kemenangan Amir itu turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi.
Sementara, tempat ketiga pula menjadi milik lagu Jangan Mati Rasa Itu, nyanyian dan ciptaan sepenuhnya Aina Abdul. – HIBGLAM