‘Persefahaman kekal dengan Tok Ram sebab tak tuding jari’

SEDEKAD melayari kehidupan berumah tangga sudah cukup membuatkan penyanyi Datin Alyah mengenali sisi budiman suami tercinta, Datuk Ramli MS yang disifatkan segelintir individu sebagai tegas dan lantang.

Bagi pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan, hakikatnya lelaki yang mesra dibahasakan Tok Ram itu berjiwa penyayang dan sarat humor seperti dilihat menerusi televisyen.

Perbezaan karakter dan pendekatan berfikir menjadikan kehidupan mereka sarat warna, sekali gus mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Berbanding Alyah, suaminya Tok Ram lebih rajin dan handal di dapur sepanjang Ramadan ini.

Baginya, memasuki tahun ke-10 hidup bersama maestro muzik itu sebagai fasa menenangkan apabila masing-masing semakin memahami keperibadian dan sikap satu sama lain.

Saya percaya tiada seorang pun manusia yang sempurna, jadi kami saling melengkapi dengan menerima kekurangan mahu pun kelebihan masing-masing seadanya.

“Sebagai suri berkerjaya, saya juga berusaha melakukan sehabis baik dengan melaksanakan tanggungjawab di rumah.

“Apa yang kurang saya cuba perbaiki, namun selebihnya tawakal saja kepada Allah.

PADA usia melepasi 40-an, Alyah menitikberatkan penjagaan dalaman dan luaran demi kehidupan yang sejahtera.

“Semua persefahaman ini bukan dapat wujud dalam tempoh setahun dua, tapi kita kena banyak bertolak ansur dan andai berlaku perubahan antara kami, jangan menuding jari, sebaliknya masing-masing duduk berbincang,” katanya membuka bicara.

Pengalaman, pengajaran

Mengakui hubungan ada pasang surutnya, penyanyi Kisah Hati itu menyifatkan situasi terbabit sebagai lumrah kepada setiap pasangan yang secara tidak langsung menguji kekentalan ikatan.

Dia bahkan mahu berkongsi dengan semua orang bahawa jika berlaku sesuatu perkara dalam kehidupan, itu bukanlah perkara buruk tetapi lebih kepada proses pembelajaran.

“Kena positif biar seteruk mana ujian mendatang, begitu juga dengan semua yang anda tahu mengenai perjalanan karier seni saya, kisah rumah tangga saya dan apa yang kami suami isteri lalui hingga masih teguh pada tahap sekarang.

Alhamdulillah, dugaan tahun-tahun terawal sudah berjaya kami depani biarpun untuk perjalanan akan datang, kita tak tahu apa lagi ujian bakal ditempuh.

“Paling pasti pada fasa sekarang kami lebih relaks, lebih matang dan lebih gembira. Susah atau senang, itu bergantung cara kita menanganinya,” luahnya.

Baca artikel penuh di Kosmo! Online atau dapatkan surat khabar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok