Penonton terhibur Sherry ‘petik’ nama The Gadys

AXIATA ARENA Bukit Jalil bergema dengan sorakan penonton sebaik hos Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL 38), Sherry Alhadad berseloroh membawakan lagu Cintaku Sampai ke Ethiopia yang tular, baru-baru ini.

Sherry juga turut menyebut kumpulan yang membawakan lagu tersebut secara medley dalam sebuah majlis penganugerahan dan disiarkan di RTM iaitu The Gadys.

Begitupun, gurauan pengacara tersohor terbabit sambil mendendangkan petikan lagu nyanyian asal penghibur Indonesia, Ria Resty Fauzi disambut teman gandingannya, Alif Satar secara positif.

“Mana tahu suatu hari nanti The Gadys dapat berdiri di pentas AJL,” ujarnya yang memberikan sokongan moral terhadap tiga anggota kumpulan terbabit.

Kata-kata semangat Alif disambut dengan tepukan gemuruh 8,000 penonton yang memenuhi
gelanggang anugerah anjuran TV3 ini.

Sebelum ini ramai melemparkan kecaman kepada kumpulan terbabit yang disifatkan mempamerkan nyanyian sumbang ketika menyampaikan lagu medley termasuk Cinta Sampai Mati dan Gadis dan Bunga.

Biarpun majlis berkenaan sudah berlangsung beberapa hari berlalu, rakaman video segmen persembahan terbabit tular dalam media sosial turut dijadikan meme.

Begitupun, wakil pengurusan memaklumkan ketiga-tiga anggota kumpulan terbabit iaitu Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Chan tenang berdepan kecaman. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok