KETIKA beberapa selebriti tanah air bergelut dalam gelombang rumah tangga, lain pula arus yang dilalui si cantik Diana Danielle ketika ini.
Jika tahun lalu Diana dan suaminya Farid Kamil turun naik mahkamah bagi menyelesaikan kemelut dan permohonan cerai sepanjang bulan Ramadan, tahun ini situasi berbeza dihadapinya.
Merenung semula kisah lalu, jauh di sudut hatinya, Diana yakin tiada manusia yang terlepas daripada menghadapi jatuh bangun dalam kehidupan.
Baginya, tahun lalu adalah antara fasa terendah dalam hidup yang pernah dilaluinya bersama keluarga, termasuk suami tercinta.
Ironinya pula, terlalu banyak pengajaran yang diperoleh daripada kesilapan tersebut.
Terlalu banyak perkara yang saya pelajari dalam hidup sepanjang tahun lalu khususnya ketika berdepan kemelut rumah tangga sekitar Ramadan.
“Saya juga sama seperti orang lain, ada tahun tidak bertuah dan melalui jatuh bangun.
Tahun lalu saya banyak buat kesilapan dan begitu juga dengan Farid. Semua itu adalah perjalanan hidup yang perlu semua hadapi sebagai makhluk-Nya,” kata Diana kepada HibGlam baru-baru.
Bercakap tentang kehidupannya ketika ini, aktres berusia 33 tahun itu mendefinisikan suhu rumah tangganya berlangsung indah dan semakin baik.
Ramadan pada tahun ini bahkan disifatkan sempurna dan masih diberi peluang menikmati rasa bahagia sebagai isteri.
Rasa syukur, tenang dan gembira sangat besar dalam jiwa saya, suami serta anak-anak.
“Selepas semua berlaku, kami sangat bersyukur kerana masih bersama sehingga ke hari ini. Bahkan hubungan kami sekeluarga semakin erat,” ujar bintang Hanyut itu.
Dikenali sebagai individu yang sangat positif, pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson itu yakin setiap keajaiban dalam hidupnya adalah kuasa Tuhan yang tidak terlawan.
Selepas melalui semua fasa tersebut, saya yakin tiada kuasa yang mampu lakukan keajaiban dan perbetulkan semuanya kecuali Allah.
“Alhamdulillah, kami membentuk semula keluarga ini dengan arah lebih jelas dan belajar menghargai setiap perkara dimiliki,” ujarnya yang kini menyambung pengajian dalam jurusan Diploma Pengurusan Perniagaan di Kolej dan Universiti Antarabangsa (INTI).
Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM