Once nafi perang dingin dengan Ahmad Dhani

BEKAS vokalis Dewa 19, Once Mekel mendedahkan hubungan dengan pengasas band itu, Ahmad Dhani masih baik, bukan seperti tanggapan segelintir pihak yang menyangka mereka perang dingin.

Begitupun, penyanyi berusia 54 tahun itu mengakui belum berkesempatan untuk bersemuka rakan seperjuangannya bagi membincangkan hal penafsiran hak cipta dan royalti.

Hubungan saya dengan Ahmad Dhani baik-baik saja, tetapi sudah agak lama kami tidak bertemu disebabkan kesibukan masing-masing.

“Harapnya kami boleh jumpa untuk bicara dengan lebih struktur, positif dan konstruktif lebih-lebih lagi kalau Ahmad Dhani masuk ke Parlimen kerana kami sama-sama aktif dalam dunia politik.

“Mungkin dalam isu (penaksiran) kita belum jumpa titiknya, dari segi kepentingan masyarakat, dua kepala yang mempunyai perspektif berbeza mampu membangunkan industri,” katanya kepada HibGlam. 

Once atau nama sebenarnya Elfonda Mekel diterbangkan khas ke Kuala Lumpur bersempena promosi konsert Trio Terhebat Vol 1 bersama Marcell dan Bams yang bakal berlangsung di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 Mei depan.

Menerusi pertemuan dengan media tempatan di Hotel Grand Hyatt semalam, penyanyi Dealova itu menyatakan keterbukaan serta akur untuk tidak membawakan lagu dendangannya ketika bersama Dewa 19.

Once atau Elfonda Mekel, 54, ditemui berkata, dia juga akan menyanyikan lagu yang pernah dirakamnya bersama Dewa 19 pada Konsert Trio Terhebat Vol 1 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), 4 Mei depan.

Secara peribadi, Once menyatakan larangan yang ditetapkan ketua kumpulan Dewa 19 itu berlandaskan alasan wajar, sekali gus tiada rasa sedih atau terkilan.

Saya memahami tindakan dibuat Dhani kerana ini melibatkan kepentingan kumpulan, jika larangan itu membabitkan penyanyi solo ceritanya berbeza, jadi saya terima keputusan itu dengan baik tambahan pula kami pernah bersama dalam satu kumpulan.

“Saya juga tidak sedih mahupun terkilan apabila tidak lagi menyampaikan lagu Dewa 19, bahkan dengan rela hati akur mengikut apa yang katanya,” ulasnya.

Pada April tahun lalu, Ahmad Dhani mengeluarkan kenyataan rasmi selaku komposer lagu Dewa 19 yang melarang Once membawakan lagu band tersebut apabila tampil dalam mana-mana konsert.

Menurutnya, sejak keluar daripada kumpulan terbabit, bekas vokalis terbabit sering membawakan lagu ciptaannya, namun tidak membayar royalti.

Berkenaan pembabitan dalam konsert Trio Terhebat Vol 1 pula, Once sangat teruja kerana dapat sepentas dengan dua rakan senegara iaitu penyanyi Marcell dan bekas vokalis Samsons, Bams.

Sebelum ini saya pernah sepanggung dengan Marcell tapi pertama kali bersama Bams, namun paling pasti persembahan mega itu nanti pasti meninggalkan memori.

“Saya bakal membawakan 10 lagu daripada album solo termasuk Dealova, Ku Cinta Kau Apa Adanya, Simfoni Indah dan Matilah Kau,” katanya mengenai konsert anjuran Arena Muzik dengan sokongan Icon Entertainment.

Beralih kepada kerjaya politik, Once yang bertanding pada Pilihanraya Indonesia pada 14 Februari lalu dicalonkan bagi kawasan Daerah Khas Ibukota (DKI) Jakarta II meliputi Jakarta Selatan serta Jakarta Pusat.

Dikatakan mempunyai potensi besar kerana menjadi calon favorit di kawasan yang mempunyai 4.3 juta pengundi itu, dia hanya menyerahkan segala keputusan di tangan pengundi yang akan diumumkan pada 20 Mac depan.

Alhamdulillah andai mendapat mandat ramai, apa pun saya akan terus tegar memperjuangkan isu berkaitan kepentingan penggiat seni, soal hak cipta dan semua isu berkaitan industri hiburan,” ulasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok