SUDAH sampai waktu untuk jadi suami orang pula.”
Demikian kata pelakon kacak Zul Ariffin yang nekad mendirikan rumah tangga hujung tahun ini selepas hasrat itu terbantut berikutan pandemik Covid-19.
Kata pemilik nama lengkap Zulkifli Ariffin itu, tiada sebab untuk menangguhkan perkara baik selepas masing-masing sudah bersedia menggalas tanggungjawab.
Memang dari tahun lepas lagi ada perancangan ini. Rasanya saya pun sudah lama berlakon dan sampai waktu untuk jadi suami orang pula, insya-Allah.
“Saya tidak mahu cakap kosong sahaja dan cuba realisasikan tahun ini sebab kalau boleh tak mahu lagi tangguh lama-lama,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan program hari raya Astro, baru-baru ini.
Bintang filem Sangkar itu memilih akhir tahun bagi menyempurnakan hari bahagia kerana pada waktu itu komitmen tugasan termasuk promosi filem baharu, Sheriff sudah berakhir.
“Saya difahamkan semua pelakon Sheriff akan mengikuti jadual promosi memandangkan filem itu bakal ditayangkan pertengahan tahun ini.
Perancangan berkahwin pada Jun ini memang tak sempat, jadi mungkin akhir tahun macam orang selalu buat.
“Sebab itu tiada sebarang persediaan, sebaliknya hanya perbetulkan diri dalam menjadi seorang insan lebih sempurna berbanding sebelum ini,” ujarnya.
Begitupun, Zul memilih merahsiakan dahulu identiti bakal isteri yang hanya akan didedahkan apabila tarikh pernikahan sudah ditentukan.
Tak boleh nak kongsikan siapa dia, macam keterlaluan pula kalau perkenalkan sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Zul pernah mendedahkan teman wanitanya adalah bukan dalam kalangan selebriti dan bukan beragama Islam.
Berdasarkan semakan, dia akrab dengan penerbit Gayatri Su-Lin Pillai sejak bertahun-tahun lalu bahkan pernah menghadiahkan wanita berkenaan sebuah kereta.
Sementara itu sumber terdekat mendakwa aktor terbabit sedang menghitung hari menanti disatukan dengan wanita pilihan hati. – HIBGLAM