Neeta impi watak menguji adrenalin

TAHUN lalu, penyanyi dengan vokal unik, Neeta pernah muncul dalam sebuah drama bersiri, berjudul One Million Dollar Voice, arahan pengarah dan penerbit terkenal, Michael Ang.

Dalam karya berkonsep rancangan realiti tersebut, Neeta yang juga vokalis kumpulan muzik, iamNEETA memegang watak sebagai Sheila iaitu seorang peserta pertandingan menyanyi yang memburu kejuaraan tempat pertama dengan hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.69 juta).

Lakonan bersahaja Neeta dalam drama yang turut dibintangi pelakon seperti Emma Maembong, Amelia Henderson, Ben Amir, Datin Maria Farida dan Zarina Zainoordin dipuji rata-rata penonton.

Ujar anak jati kelahiran Sungai Petani, Kedah itu, One Million Dollar Voice merupakan drama pertama yang menampilkan dirinya membawa watak penting.

Meskipun lakonannya dihujani pujian, Neeta atau nama lengkapnya Neeta Manishaa Manogaran sebenarnya masih belum pasti, sama ada benar-benar meminati karier lakonan atau tidak.

Walaupun ramai menyukai lakonan saya dalam drama bersiri itu, namun saya sendiri tidak tahu sama ada menyukai bidang lakonan atau tidak. Nyanyian masih lagi menjadi keutamaan saya dalam industri,” kata penyanyi berkulit hitam manis itu.

Tambahnya, walaupun memiliki asas dalam teater, Neeta mengakui berlakon sebenarnya agak memenatkan kerana perlu banyak menunggu. Wanita berperwatakan manja itu bagaimanapun tidak menolak lakonan merupakan bidang yang menyeronokkan.

“Berlakon sebenarnya seronok, cuma agak memenatkan kerana perlu menunggu lama. Kalau saya menerima tawaran berlakon, saya tidak akan menolak untuk turut menerima tawaran membuat persembahan nyanyian.

Kerana menyanyi masih menjadi keutamaan saya dalam industri,” jelas penyanyi berusia 30 tahun itu.

Bercakap tentang watak yang diidam-idamkan, pelantun lagu Ruang Mimpi itu akan lebih teruja jika ditawarkan watak yang berdepan cabaran hebat sehingga meragut nyawa.

Selebriti kacukan Cina-India-Siam itu menyifatkan genre seram dan suspen sebagai menguji konsep naskhah yang pasti menguji adrenalinnya sebagai pelakon.

“Saya suka karya berbentuk seram dan suspen. Kalau diberi peluang, saya teringin untuk bawakan watak seseorang yang menjadi mangsa pembunuhan kejam.

“Kalau ada watak begitu ditawarkan, saya akan terima walaupun terpaksa pergi ke sesi uji bakat dahulu.

“Tapi kalau saya ditawarkan dengan watak gadis yang berkahwin dengan anak anak orang kaya, saya tidak mahu. Bukannya memilih, tetapi saya rasa tidak sesuai untuk bawakan watak sebegitu,” jelas Neeta.

Pun begitu, Neeta tidak menolak untuk terbabit dalam karya yang mengandungi babak ‘softporn’ (lucah ringan) memandangkan dia bukan beragama Islam.

Bagaimanapun, sebagai artis yang menceburi industri hiburan Melayu, Neeta sedar dan bersikap sensitif dengan penonton yang sebahagiannya merupakan orang berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Selain faktor agama dan bukan berbangsa Melayu, saya kena sensitif dengan penonton juga mungkin terdiri daripada pelbagai peringkat usia. Jadi saya tetap perlu berhati-hati,” kata bekas peserta program Big Stage musim kedua itu.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok