PENGACARA dan usahawan jelita, Neelofa nampaknya tidak jadi ‘bersara’ awal apabila meramalkan lagu Hasrat ciptaan dan nyanyian, Amir Jahari bakal dijulang sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), malam ini.
Pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, itu mengakui secara peribadi menyukai filem Imaginur yang menjadikan lagu ciptaan penyanyi itu sebagai lagu runut bunyi sekali gus melihat potensi Hasrat mengungguli AJL38.
Ramalan itu dikongsi Neelofa selepas tiga hari menyatakan hasrat bersara daripada terus membuat tekaan mengenai pertandingan anjuran TV3 itu.
Bahkan, bekas pengacara program Meletop itu secara berseloroh turut menyerahkan tugas menilik lagu yang berpotensi membawa pulang trofi serta hadiah utamaRM100,000 itu kepada netizen.
Pada masa sama, dia turut meramalkan lagu Astana nyanyian Ernie Zakri berpotensi menjulang kejuaraan di Axiata Arena.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, lagu ciptaan bersama Ernie, Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman mempunyai keunikan tersendiri.
Sebelum ini Neelofa pernah membuat tekaan tepat selama empat tahun berturut-turut bermula dengan AJL edisi 31 sehingga AJL34.
Namun pada musim ke-35 ramalannya tidak mengena apabila lagu Semalam nyanyian Aina Abdul yang menjadi pilihannya tewas kepada Gila ciptaan Noki, Loca B dan Kaka Azraff.
Begitupun, pada AJL36, ramalan Neelofa menjadi apabila Pelukan Angkasa nyanyian Shila Amzah dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) dinobatkan sebagai juara, manakala pada edisi ke-37, Terus Hidup ciptaan Aina menepati tekaannya.
Selain AJL, isteri kepada penceramah bebas Haris Ismail atau PU Riz itu juga pernah membuat ramalan untuk beberapa acara mega lain termasuk Anugerah Bintang Popular.
AJL adalah majlis pengiktirafan kepada komposer dan penulis lirik yang menghasilkan karya terbaik, selain memberi anugerah kepada penyanyi yang membuat persembahan serta memiliki vokal terbaik.
Lagu yang bakal berentap malam ini adalah Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Sutera (Aisha Retno), Santai (Naqiu, Faizal Tahir), Inilah Jalannya (Masdo), Darah (Marsha Milan) dan Kalam (Shiha Zikir).
Turut bertanding, Kucuma (Wany Hasrita & Afieq Shazwan), Bintang (Hael Husaini), Waktu (Ziana Zain & Hasif Upin) serta Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali). – KOSMO! ONLINE