Nazim Othman sudah tetap ‘tarikh luput’

NAZIM OTHMAN sudah menjadi jenama dalam kamus arena seni tanah air yang hadir dengan pakej lengkap bersama deretan drama fenomena, sekali gus hampir mustahil khalayak tidak mengenalinya.

Daripada sisi antagonis, psiko sehingga ke karakter sebaik-baik insan, kredibiliti pemilik nama penuh Nushrul Alif Othman itu tidak perlu disangkal.

Tidak keterlaluan jika dikatakan, aktor tinggi lampai itu sentiasa diburu pengarah bagi menghiasi apa jua naskhah mereka.

Mengakui kewujudan ‘tarikh luput’, Nazim sudah mempunyai perancangan untuk menoktahkan kerjaya lakonan demi beralih kepada bidang lain selepas 15 tahun bergelar pelakon.

SERING menjayakan watak antagonis, Nazim cuba mengimbangi graf lakonannya dengan membawa karakter putih untuk 2024.

Enggan mendedahkan punca, Nazim atau nama lengkapnya Nushrul Alif Othman, juga lebih selesa tidak berkongsi mengenai jangkaan waktu pengundurannya.

“Saya memang mahu bersara daripada industri hiburan tanah air tetapi terlalu peribadi untuk saya kongsikan sebabnya.

Apapun, keputusan saya ini bukanlah berkaitan dengan industri, seperti yang saya katakan, lebih kepada hal privasi.

“Bila tarikh atau waktu saya mahu bersara juga saya tak boleh dedahkan. Tunggu dan lihat sahajalah nanti,” katanya kepada HibGlam.

Pun begitu, pelakon asal Johor Bahru itu memaklumkan sudah menyatakan hasratnya itu kepada beberapa sutradara terkenal serta kenalan terdekat.

Sebagai persediaan, pelakon drama Super Menantu itu memaklumkan telah menyusun perincian ke arah hala tuju bidang baharu.

Mereka yang rapat dengan saya tahu perancangan ini. Saya juga pernah bercakap dengan beberapa pengarah dan menyuarakan hasrat agar dapat berlakon filem sebelum bersara.

“Sepanjang 15 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah berlakon filem. Semoga impian itu akan tercapai sebelum saya bersara.

Tentang perancangan masa depan, semua saya sudah sediakan. Saya ada ‘exit plan’ sendiri apa yang hendak dibuat selepas ini. Apa sahaja yang hendak dilakukan saya perlu fikir secara terperinci,” ujarnya yang kini menghiasi drama Wanita Syurga yang bersiaran untuk slot Akasia di TV3.

NAZIM percaya kunci kepada lakonan berkesan dan berjaya adalah ikhlas dalam menggalas setiap watak disua.

Terus menggali mencari punca, penulis sempat bertanya adakah keputusannya ini bersangkut-paut dengan persaingan dan lambakan pelakon baharu yang hadir menghiasi industri seni.

Tersenyum seraya menggelengkan kepala, aktor berusia 40 tahun itu menegaskan, dirinya tidak pernah tergugat dengan kehadiran bintang baharu, kendatipun kini lebih sering diberikan watak pembantu.

“Selagi masih dihargai, sihat dan masih diperlukan, saya akan terus berlakon sehingga saya rasa sudah waktu sesuai untuk bersara seperti yang saya kata sebelum ini.

Saya percaya pada rezeki masing-masing. Saya tak pernah rasa takut menjadi pelakon pembantu, masa muda memang saya akui sentiasa mengharapkan jadi pelakon utama.

“Sekarang ramai pelakon baharu yang berbakat, berilah peluang kepada mereka. Macam saya sudah puas bawa watak utama, jadi apa lagi yang nak dikejarkan,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai pramugara sebelum bergelar pelakon.

Baca artikel penuh di Kosmo! Online atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok