PENANTIAN sedekad Mila Jirin berakhir apabila kemunculan buah tangan baharu, Sandera sebuah lagu yang pastinya membuai emosi siapa sahaja yang mendengarkannya buat kali pertama.
Bagi Mila, tiada apa yang lebih menggembirakan selain dapat kembali ke studio merakamkan lagu ciptaan sepenuhnya oleh Amylea Azizan itu.
Jelasnya, peluang yang diperoleh tidak boleh dilepaskan begitu sahaja sementelah sudah lama dia tidak merakamkan lagu baharu.
Sebenarnya lebih lapan tahun saya tidak hadir dengan lagu baharu dan apabila ditawarkan semula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali aktif dalam industri muzik tanah air.
“Banyak perkara yang saya korbankan dalam tempoh berkenaan tapi rindu saya untuk aktif semula tidak pernah padam.
Selama ini saya hanya menyanyi untuk majlis pelanggan di Bizmilla Wedding Centre sahaja. Saya berkorban minat yang satu ini semata-mata demi tumpuan kepada keluarga dan bisnes,” kata Mila membuka cerita.
Mila sebenarnya menuruti permintaan suaminya, Ahmad Ailis yang mahu dia berehat sebentar daripada industri sejak dikurniakan cahaya mata tujuh tahun lalu.
Suaminya, risau sekiranya Mila terus aktif dalam bidang seni sedangkan anak mereka, Arif Zikri memerlukan tumpuan sepenuhnya.
Sudahnya, dia merelakan hati menarik diri selangkah ke belakang demi memastikan anak tunggalnya mendapat sepenuh kasih sayang selain fokus terhadap perniagaan Bizmilla Wedding Centre.
Sehingga Bizmila mempunyai 18 Banquet Hall di 7 Cawangan di Selangor, Putrajaya, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
“Bukan mudah sebenarnya mahu merakamkan Sandera ini memandangkan saya terpaksa memujuk rayu suami untuk keizinan.
Alhamdulillah, akhirnya dia bersetuju dan memberikan kebenaran bersyarat termasuklah tidak mengabaikan keluarga dan perniagaan.
“Memang saya gembira sangat dan kembali merakamkan lagu dan berharap Sandera diterima baik pendengar seterusnya mengembalikan nama Mila Jirin kepada industri,” tambahnya.
Bercerita mengenai rakaman pula, Mila gembira apabila lagu berkenaan turut dijadikan runut bunyi drama Khunsa yang ditayangkan bermula 11 Mac, setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam menerusi Astro Ria.
Menganggap peluang yang diberikan cukup besar buat dirinya, penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara ini berharap kedua-dua produk berkenaan akan diterima baik.
“Pada asalnya saya hanya membuat rakaman semula lagu Dawai untuk media sosial sahaja. Tak sangka pula video berkenaan tular sehingga menarik minat Amylea. Dia hubungi saya dan memberikan tawaran sebuah naskhah baharu untuk Khunsa.
Bila mendengarkan sahaja tajuk Khunsa, itu sudah memberikan seribu satu persepsi kepada saya. Apabila mendengarkan kisah di sebalik Sandera, saya tidak boleh menolak.
“Ini memang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan dan yang saya tunggu selama ini, saya sangat gembira akhirnya berjumpa lagu yang sangat saya impikan dalam genre balada dan menonjolkan vokal saya,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima ini lagi.
Paling menggembirakan apabila Mila sendiri dapat menjadi produser bagi lagu ini menerusi Bizmilla dan bersyukur dapat bekerjasama dengan Sony Music Malaysia dalam mempromosikan Sandera yang mula dilancarkan secara rasmi 12 Mac di seluruh platform digital.
Hala tujunya dalam bidang seni ini juga semakin jelas saat Sandera dilancarkan dan dia berharap dapat melengkapkan repertoire muziknya sebelum melakukan persembahan berskala besar pada masa hadapan.
Mengambil inspirasi daripada kejayaan Aina Abdul menganjurkan ‘persembahan satu malam’ sejak beberapa tahun yang lalu, itu juga merupakan antara keinginan yang bakal ditunaikan Mila sedikit masa lagi.
“Apabila merakamkan Sandera, ini menambahkan keyakinan saya untuk melakukan perkara yang sama pada masa hadapan. Saya memang mahu melakukan persembahan A Night With Mila Jirin di dewan banquet Bizmilla bersama peminat suatu hari nanti,” katanya. – HIBGLAM