Mega! Epitome taklukan Siti Nurhaliza

MESKI sudah beberapa hari berlalu, masih segar dalam ingatan momen-momen yang berlaku pada konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 9 Mac lalu.

Tempoh tiga jam berlansung terasa seperti hanya 30 minit. Terlalu pantas rasanya masa berlalu sekali gus membuktikan magis Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai seorang penghibur dalam sebuah konsert berskala besar masih tiada tandingan.

Pada usianya, tidak perlu lagi membandingkan kehebatan konsertnya dengan penyanyi lain kerana Siti unggul dalam liga tersendiri.

SITI turut menghiburkan peminat dengan telatah comelnya yang bijak berkomunikasi bersama peminat.

Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza juga memaparkan perjalanan karier seninya sepanjang 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik.

“Terima kasih kerana hadir pada malam ini dan tidak berhenti menyokong saya sejak 28 tahun lalu.

Tidak kisahlah nak panggil TokTi atau Mak Iti sebab saya masih Siti Nurhaliza yang anda kenali tetapi saya tertanya, masih ada yang sayang saya lagi ke?” katanya bercanda memulakan bicara.

Lebih membuatkan hatinya tersentuh apabila mendapat tahu kisah peminat istimewanya, sebuah keluarga dari Portugal yang gigih ‘berjuang’ bersama ribuan yang lain bagi mendapatkan tiket konsert.

“Selain peminat tempatan, konsert ini dihadiri penyokong dari Singapura, Indonesia dan Brunei. Saya juga diberitahu ada peminat dari Portugal datang malam ini bersama isteri dan anak perempuannya.

Seperti peminat lain, dia sanggup ‘berjuang’ di hadapan komputer demi mendapatkan tiket.

“Kami sudah lama tidak berjumpa. Ketika mula berkenalan, anaknya kecil lagi. Sekarang, anak perempuannya hafal semua lagu saya,” tuturnya sambil mengukir senyuman manis.

SEPANJANG tiga jam konsert, Siti bertungkus-lumus menukar empat persalinan demi memberikan persembahan yang terbaik buat peminat yang tidak putus menyokong kembara seninya selama ini.

Menyaksikan kehadiran lebih 12,000 penonton, Siti mengaku terkejut dengan sambutan ramai terhadap konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza berkonsep amal yang dijayakannya itu.

Imbas kembali ketika konsert ini diumumkan, saya sebenarnya takut, berdebar dan tertanya-tanya ada orang hendak tengok konsert saya?

“Anda buat saya terkejut apabila semua tiket ‘licin’ dalam tempoh dua jam. Ini bukan perkara biasa tetapi luar biasa.

Namun, dalam keterujaan konsert, anda sebenarnya telah melakukan kebajikan untuk kanak-kanak dan mereka yang menjadi mangsa perang di Gaza, Palestin.

“Semoga Allah SWT memberkati anda semua,” ujarnya.

Pada konsert tersebut, biduanita kesayangan negara itu sempat menyajikan lima segmen iaitu Mimpi Ke Awan, Surat Harapan, Mega Karaoke dan Bayu Timur, manakala Judika Solo pula menjadi elemen kejutan buat penonton yang hadir.

KEMUNCULAN penyanyi terkenal seberang, Judika merupakan kejutan istimewa Siti buat kira-kira 12,000 peminat yang menyaksikan konsertnya kali ini.

Memilih 36 buah lagu daripada lebih 250 buah lagu sepanjang 28 tahun bergelar penyanyi bukanlah satu perkara mudah buatnya.

“Saya ada lebih 200 buah lagu, tak mungkin untuk menyanyikan kesemuanya malam ini.

“Jadi, ada lagu yang saya simpan untuk nyanyi pada konsert di Singapura nanti dan sebuah lagi konsert pada Ogos. Jangan marah kalau ada lagu kegemaran anda tidak dipersembahkan ya,” ujarnya sambil tertawa kecil.

Baca artikel penuh menerusi akhbar Kosmo! atau layari Kosmo! Online. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok