Mahu kekal sihat, Tarmimi ikut cara Tun Mahathir

“LET’S your brain work (amalkan otak sentiasa bekerja). Saya ikut saranan Tun Mahathir.”

Demikian kata pelakon veteran Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang mengamalkan tip mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuK sentiasa berfikir agar otak ‘berjalan’ walaupun pada usia lanjut.

Selain itu, bagi mengekalkan tahap kesihatannya, Tarmimi, 74, turut berpuasa sunat setiap Isnin dan Khamis.

Saya ikut kata-kata Tun Mahathir yang menyarankan agar otak sentiasa berjalan dan berfikir walaupun pada usia lanjut. Jangan duduk sahaja.

“Semasa bukan di bulan Ramadan pun kita disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis untuk rehatkan badan. Jadi, saya amalkan perkara ini jika ada kesempatan,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2023 itu tidak ketinggalan menzahirkan rasa syukur apabila masih diberikan kesihatan dan kurdrat oleh Allah SWT untuk memperbanyakkan ibadah sepanjangan Ramadan kali ini.

“Alhamdulillah, saya masih sihat dan boleh menjalani ibadah puasa seperti biasa. Jangan anggap puasa itu sesuatu yang menyusahkan.

Jika ke masjid, saya akan terus pulang ke rumah selepas selesai solat berjemaah dan tidak akan melepak di kedai kopi. saya pernah bergaduh dengan kumpulan jemaah masjid kerana mereka kata saya sombong.

“Bukan sombong tetapi saya tak berapa suka dengan cara mereka mengata dan bercerita (mengumpat) tentang orang lain.

Jadi, lebih baik saya balik ke rumah. Dah elok-elok beribadah di masjid, hujung-hujung mengata orang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tarmimi berkongsi akan menjalani penggambaran tiga drama sepanjang Ramadan.

“Ramadan tahun ini saya akan bekerja seperti biasa. Saya akan menjalani penggambaran untuk tiga buah drama.

Sama seperti orang yang bekerja di pejabat, berlakon juga adalah kerjaya. Jadi ketika bulan puasa, saya kena bekerja juga.

“Tapi saya akan pastikan waktu penggambaran itu dapat dihabiskan lebih awal supaya berpeluangmenunaikan solat sunat Tarawih pada sebelah malamnya,” kata Tarmimi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok