PELAKON Datin Lisa Surihani mengakui pernah menolak tawaran sebagai artis undangan bagi program mengaji kerana masih ‘merangkak’ membaca al-Quran.
Menurut Lisa atau nama penuhnya Lisa Surihani Mohamed, 37, undangan tersebut sudah beberapa kali ditolak namun hatinya terbuka pada tahun ini dengan menyifatkan program tersebut ibarat kelas mengaji buatnya.
“Memang berdebar sebab hubungan dengan al-Quran dalam kategori yang saya anggap sebagai ‘merangkak’.
Sudah beberapa tahun dijemput tetapi saya tolak secara baik sebab segan dan risau apa orang cakap.
“Namun, tidak tahu kenapa terbuka hati tahun ini untuk terima dan saya anggap pengalaman seperti masuk kelas mengaji,” katanya yang bakal muncul dalam program Jom Khatam menerusi saluran Astro Oasis.
Tambah isteri kepada pengarah, Datuk Yusry Abdul Halim itu, demi ibadahnya kepada Allah, dia terbuka menerima pandangan orang ramai mengenai tahap bacaan al-Qurannya dalam program tersebut.
Meskipun begitu, dia juga berharap usahanya yang tidak pernah berhenti belajar memperbaiki bacaan al-Quran walaupun memiliki kekurangan dapat menjadi inspirasi kepada ramai orang.
Saya belajar mengaji dengan qari. Dari segi tanggapan, saya letak tepi dan doa semoga Allah terima dan reda.
“Walaupun hubungan saya dengan al-Quran perlu banyak diperbaiki dan tambah baik, saya harap itu jalan untuk mendapat reda Allah.
Moga apa yang saya lakukan ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak dan menolak tepi segala rasa segan untuk jadikan al-Quran sebagai sahabat baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Lisa dalam Instagram pernah mengakui berat hati untuk menerima undangan mengaji dalam program televisyen kerana merasakan bacaannya kurang sempurna ditambah pula dengan pelat sebutan ‘R’. – HIBGLAM