PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengingatkan artis yang terpalit kontroversi agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk mempertahankan diri.
Pemilik nama lengkap Rozaidi Jamil, 48, berkata, semakin banyak kenyataan dikeluarkan, lebih besar potensi penjelasan tersebut memakan diri apabila terus mengundang prasangka.
“Apabila artis mempunyai masalah atau terpalit kontroversi, tolonglah jangan komen atau bagi lagi kenyataan media.
“Bila kau buat begitu, nampak lebih banyak kebodohan kau itu. Lebih banyak kau cakap dan lebih banyak kau mempertahankan isu kau itu, banyaklah orang nampak kebodohan kau itu,” katanya.
Perkara itu dikongsikan dalam sebuah video pendek yang dikongsikan menerusi platform TikTok.
Begitupun, Zed tidak menunjukkan peringatan dibuat itu kepada mana-mana pihak mahupun individu tertentu.
Sebaliknya, peringatan sebegitu dikongsikan adalah atas kapasitinya sebagai Presiden Seniman.
Semakan Kosmo! Online menerusi ruangan komen, rata-rata netizen senada dengan Zed selain menyifatkan selebriti yang berbuat demikian terlalu gelabah untuk menegakkan benang basah.
“Setuju dengan abang, kononnya buat kenyataan untuk menjernihkan keadaan tetapi sebaliknya berlaku sebab masing-masing nampak kurang cerdik dan terlalu bersungguh menutup kesalahan masing-masing,” komen netizen itu.
“Betul! Lebih baik diam dan selesaikan sesama sendiri, makin bercakap makin terbongkar kejahilan dan kekhilafan diri sendiri, kadang lawak tengok artis yang cuba membela diri yang sedia ada salah,” demikian komen seorang lagi netizen.
Sebelum ini, Zed yang juga seorang pelakon kerap menegur selebriti tanah air andai berlaku sebarang isu atau kontroversi yang menjejaskan nama baik industri seni tempatan. – HIBGLAM