SEBELUM ini, tiada siapa yang hirau atau ambil tahu dengan kumpulan yang dianggotai tiga wanita muda, The Gadys.
Bahkan, kemunculan The Gadys yang dianggotai Aznie Azmi, Ayunie Rizal dan Thamiera Cahn seakan-akan tenggelam ‘dipijak’ populariti kumpulan wanita lain seperti De Fam dan Dolla, yang lebih meraih perhatian dalam industri muzik tanah air.
Namun benar orang kata, publisiti walaupun buruk, tetaplah publisiti. Buktinya, nama kumpulan yang bernaung bawah syarikat rakaman, Universal Music Malaysia dan Valient Music itu tiba-tiba meledak.
Bukan disebabkan meraih sukses kerjaya seni, tetapi semuanya natijah kecaman netizen terhadap nyanyian sumbang mereka ketika Anugerah KNKV Viral 2024 yang ditayangkan menerusi RTM, baru-baru ini.
Nyanyian The Gadys yang disifatkan sangat teruk semasa menyampaikan medley Cintaku Sampai Ke Ethiopia, Cinta Sampai Mati dan Gadis dan Bunga itu, membuatkan mereka dikritik dan dipandang rendah netizen.
Ekoran persembahan yang tular, penerbit muzik terkenal, Julfekar turut memberikan komen pedas, mengkritik nyanyian The Gadys yang katanya, mampu melelehkan tahi telinga!
“Macam tak boleh fikir. Macam buat persembahan sekolah. Meleleh tahi telinga. Macam ini pun boleh lepas buat persembahan?” sindir Julfekar.
Tidak berhenti di situ, pengacara Sherry Alhadad turut menjadikan nyanyian The Gadys sebagai ‘modal’ melawak ketika mengacarakan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), baru-baru ini, sehingga mendapat sorakan penonton.
Dihentam bertubi-tubi, ironinya The Gadys mula meraih perhatian orang ramai, termasuk pemain industri, sekali gus menjadi publisiti percuma kumpulan itu meraih tempat dalam bidang nyanyian.
Antara yang melontarkan pandangan, Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokhzani Ismail menyifatkan insiden yang berlaku terhadap The Gadys wajar dijadikan iktibar.
Katanya, situasi tersebut setidak-tidaknya membuka mata orang ramai dan mendidik kumpulan itu sendiri untuk mendalami ilmu vokal.
“Tak payah nak kecoh sangat macam baru pertama kali dengar orang nyanyi sumbang, pandai-pandailah mereka pergi belajar (vokal).
“Agak-agak (dengar) sumbang, tutup saja telinga atau televisyen, sekali sekala biar terlepas, dapat juga didik telinga kamu semua.
“Sekurang-kurangnya ada juga ‘sumbangan’ mereka. Jadi marilah kita ‘move on’ sambil ‘healing,” ujar Mokhzani.
Ajai tidak terkejut
Komposer terkenal, Ajai pula meletakkan kesalahan tersebut di bahu label kumpulan tersebut yang salah percaturan.
Menurut komposer yang sinonim dengan kritikan lantang itu, dalam situasi tersebut, paling utama adalah tanggungjawab pihak artis dan repertoire (A&R) ketika pencarian bakat penyanyi baharu.
Ajai bagaimanapun sama sekali tidak terkejut ketika menonton semula persembahan The Gadys. Dia sudah terbiasa melihat persembahan (teruk) sebegitu.
“Saya tonton persembahan itu dan tidak terkejut sebab dah biasa tengok budak-budak sekarang menyanyi begitu.
“Selagi syarikat rakaman tak jaga kuantiti dan kualiti, memang susah. Label sepatutnya perlu ada A&R dalam menentukan sesuatu produk bagus atau tidak,” katanya.
Bagi The Gadys sendiri, mereka dilihat seolah-olah langsung tidak terkesan dengan tohmahan dan kecaman yang dilemparkan masyarakat, sebaliknya menjadikan kejadian itu sebagai platform untuk mereka lebih dikenali.
Bahkan, ramai juga netizen yang bersetuju apabila gara-gara persembahan sumbang itu, nama The Gadys mula meniti di bibir orang ramai, sekali gus berjaya memasarkan jenama ‘The Gadys’ dalam industri.
“Marketing yang berjaya. Daripada tak kenal, terus jadi kenal dengan kumpulan The Gadys,” ujar seorang pengguna TikTok.
“Okeylah, daripada orang tak kenal langsung, sekarang satu Malaysia dah kenal The Gadys,” kata seorang lagi netizen.