DUA tahun berturut-turut gagal bolos ke acara Anugerah Juara Lagu (AJL) tidak menghalang penyanyi Haqiem Rusli untuk memberi sokongan dan meramalkan lagu Sutera dendangan Aisha Retno sebagai calon lagu yang bakal membawa pulang gelaran juara pada edisi ke-38, esok.
Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 26, ketika ditemui berkata, keunikan Sutera ciptaan Aisha Retno dan MFMF, manakala lirik oleh MFMF yang lain berbanding lagu-lagu lain melayakkan karya berkenaan berpotensi bergelar juara AJL tahun ini.
“Berdasarkan 12 lagu yang berjaya mara ke peringkat akhir AJL38, saya ramalkan lagu Sutera dendangan Aisha Retno sebagai calon juara dan memberi saingan sengit malam akhir itu nanti.
“Kesemua lagu yang bertanding ada kekuatan tersendiri, namun saya berpendapat Sutera akan mendapat tempat (juara AJL38). Lagu Sutera sangat berbeza daripada segi susunan muzik yang ada di Malaysia,” ujar Haqiem kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, Haqiem yang mempertaruhkan dua buah lagu masing-masing Aku, Hati & Perasaan serta lagu Di Sebalik Rahsia semasa Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-38 (SFMM38), mengakui kecewa selepas gagal menembusi peringkat akhir AJL38 untuk dua tahun berturut-turut.
Pun begitu, Haqiem berkata kegagalannya untuk mara ke AJL38 tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya dan mengkaji kehendak serta selera pendengar pada masa akan datang.
“Ini tahun kedua berturut-turut saya gagal melayakkan diri ke pentas akhir AJL selepas lagu Hitam Saksi Putih ketika edisi tahun lalu.
“Sebagai penyanyi dan komposer, ada sedikit rasa kecewa. Namun saya bukan kecewa dengan keputusan, tetapi diri sendiri.
“Maksudnya saya kena kaji lagi kehendak dan pemilihan lagu yang lebih bagus untuk ke pentas AJL. Mungkin saya tersalah percaturan dan kena kaji pemilihan lagu-lagu untuk layak ke AJL pada masa akan datang,” katanya.
Ujarnya lagi, dia juga menjadikan Sutera sebagai karya contoh yang boleh memikat bukan sahaja selera pendengar, bahkan juga juri kerana menampilkan kelainan.
“Saya kena contohi (Sutera) sebegitu. Maksudnya kena pelbagaikan genre pada masa akan datang. Pada masa saya, saya juga kena pertingkatkan lagi usaha mengikut kehendak yang diinginkan,” jelasnya.
Haqiem sebelum ini pernah melayakkan diri ke pentas akhir AJL menerusi lagu Tergantung Sepi (AJL32), Jatuh Bangun (AJL33), Lembah Kesepian (AJL34) dan Mimpi (AJL36), sekali gus mendapat tempat ketiga.
Selain Sutera, lagu lain yang bakal bertanding AJL38 esok di Axiata Arena Bukit Jalil ialah Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul), Santai (Naqiu), Inilah Jalannya (Masdo), Astana (Ernie Zakri), Darah (Marsha Milan) dan Kalam (Shiha Zikir).
Lima buah lagu lagi ialah Hasrat (Amir Jahari), Ku Cuma (Wany Hasrita & Afieq Syazwan), Bintang (Hael Husaini), Waktu (Ziana Zain & Hasif Upin) dan Selagi Ku Ada (Khai Bahar & Nabila Razali). – HIBGLAM