JANGAN takut dan kamu tak pernah keseorangan, Allah sentiasa ada dengan kamu dan kami juga berada di belakangmu walau apa pun yang berlaku”.
Demikian perkongsian ibu kepada penyanyi Aliff Aziz, Siti Hafiza Basharahil sebagai tanda sokongan terhadap anak sulungnya kala berdepan kontroversi.
Kata-kata semangat itu dimuat naik bersama klip video persembahan anak perempuannya, Aisyah Aziz di sebuah acara dalam Instagramnya.
Menurut wanita terbabit, lagu berjudul Kepadamu Kekasih nyanyian asal Datuk M. Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Hattan itu sememangnya dikhaskan untuk Aliff.
Masya-Allah tabarakallah Alhamdulillah hidup, mati, rezeki kita semua Allah yang tentukan bukan manusia.
“Inilah peringatan yang selalu anakanda kami, Aisyah pesan kepada kami. Masya-Allah, yang penting ikhlas dan niat kerana Allah,” tulisnya lagi.
Dalam hantaran sama, Hafiza turut percaya segala perkara yang berlaku mempunyai hikmah tertentu.
Allah sayang abang dan Allah maha baik, pasti ada hikmah dalam apa jua ujian yang datang. Kamu tak sempurna begitu juga orang lain.
“Semoga Allah permudahkan perjalananmu dan memberikan ketenangan dalam hati. Kami sayang kamu kerana Allah,” katanya.
Menerusi tanda pagar yang disertakan, ibu kepada tiga cahaya mata itu menulis ayat ‘andai orang tahu apa yang kami tahu’, sekali gus mencetuskan tanda tanya.
Sejak putera sulungnya terjebak dalam kes khalwat bersama pelakon Ruhainies pada 9 Mac lalu, Hafiza banyak berkongsi kata-kata hikmah mengenai kehidupan.
Kemelut membabitkan Aliff yang sebelum ini kerap terpalit kontroversi semakin hangat diperkatakan apabila isterinya, Bella Astillah pula memfailkan permohonan cerai dua hari selepas tangkapan terhadap penyanyi itu. – HIBGLAM