Kali terakhir jadi ‘syaitan’ sebelum Ramadan

SIAPA tidak kenal dengan kumpulan gergasi indie seperti Butterfingers, Hujan dan Bunkface.

Pastinya ramai peminat muzik sanggup berhimpun andai tiga band itu mengadakan konsert walaupun sudah berkali-kali melihat aksi mereka.

Sempena ulang tahun ke-15 Hitman Group, tiga band indie, Butterfingers, Hujan dan Bunkface berkongsi satu pentas sama di Surf Beach, Sunway Lagoon pada 2 Mac lalu. 

Kehadiran seramai 6,000 pengunjung menghangatkan suasana konsert digelar Und3rground yang bermula sedikit lewat gara-gara hujan lebat sehingga mengganggu permulaan konsert. 

Raingers iaitu kelab peminat Hujan), Bunkers (peminat Bunkface) dan Royal Butter (peminat Butterfingers) tidak sabar menyaksikan penyatuan ketiga-tiga band di pentas sama. 

Aksi dipanaskan ketiga-tiga band yang menunjukkan paduan muzik dan keharmonian mereka menerusi lagu Vio Pipe (Butterfingers), Luka Mana (Hujan) dan Bunk Anthem (Bunkface). 

Rata-rata peminat berpuas hati melihat gabungan persembahan selain penguasaan pentas yang cemerlang walaupun mampu memadatkan ketiga-tiga band. 

Masalah audio 

Pentas kemudian menjadi milik  Bunkface untuk melayani Bunkers selama 45 minit bersama seleksi popular mereka. 

Kelainan pada kali ini, Sam selaku vokalis Bunkface mengenakan pakaian ‘coverall’ berona hijau dan solekan muka ala-ala tengkorak. 

VOKALIS Sam Bunkface mengenakan pakaian ‘coverall’ berona hijau dan solekan muka ala-ala tengkorak.

Bunkface mula menyajikan persembahan dengan beberapa buah lagu seperti Rentak laguku, Darah Muda, Panik, Situasi dan High School Rocker. 

Suasana sedikit terganggu apabila berlaku masalah audio semasa Bunkface menyampaikan lagu High School Rocker. 

Biarpun ada yang mengeluh, Sam dapat mengawal keadaan dengan tenang sambil berkomunikasi bersama peminat. 

“Ini baru underground. Kadang-kadang aku lebih suka macam itu (masalah teknikal) kerana aku ada masa rehat,” katanya yang tidak menganggap hal tersebut sebagai bukan isu besar. 

Selepas masalah diperbaiki, Sam meneruskan nyanyiannya dengan lagu Silly Lilly iaitu single daripada album E.P. berjudul Lesson Of The Season.

Tidak lama selepas itu, kejadian masalah teknikal berulang dan sekali lagi Sam hanya mampu memohon maaf kepada peminat yang kecewa. 

Dalam masa sama, dia turut menyampaikan berita gembira kepada peminat mengenai pelancaran album baharu yang mungkin dilancarkan selepas Aidilfitri nanti. 

Jadi ‘syaitan’

Tiba masanya untuk Raingers beraksi apabila Hujan yang dibarisi Noh Salleh, Ag Coco, Azham dan Izzat tampil ke pentas menyampaikan beberapa lagu seperti Perindu Kalbu, Jiwa Kelajuan, Lonely Soldier Boy, Kotak Hati, Pagi Yang Gelap, Mencari Konklusi, Dugaannya dan Empayarmu. 

NOH Hujan menghangatkan suasana konsert digelar Und3rground yang bermula sedikit lewat gara-gara hujan lebat sehingga mengganggu permulaan konsert.

Kesemua lagu yang disampaikan adalah karya hits Hujan yang sentiasa menjadi dambaan peminat muzik indie. 

Tidak mungkin Raingers pulang tanpa ‘mosh pit’. Kali ini Hujan siap memberi amaran kepada sekelompok kumpulan tersebut untuk lebih berhati-hati sewaktu berhibur. 

“Hati-hati, ada ‘mosh pit’ yang boleh menyebabkan kematian juga, jadi besarkan skala kawasan. 

“Konsert kali ini sangat bermakna buat aku kerana dapat satu pentas bersama Loque, tanpa Butterfingers, tiada Hujan. 

“Mari kita bergembira. Ini kali terakhir untuk kita jadi ‘syaitan’ sebelum menjelang Ramadan,” katanya sebelum giliran Butterfingers beraksi di pentas. 

Istimewa buat Noh 

Selesai tugas Noh, tiba giliran  Butterfingers melayan jiwa Butter Royal yang setia menunggu. 

Kali ini band indie ‘otai’ itu membuka pentas dengan alunan sedikit istimewa apabila membawakan lagu Obsesi yang merupakan nyanyian asal Hujan tetapi Loque selaku vokalis mendedikasikan dendangan berkenaan khas buat Noh dalam gubahan berbeza. 

BUTTERFINGERS membuka pentas dengan alunan sedikit istimewa apabila membawakan lagu Obsesi yang merupakan nyanyian asal Hujan.

Keterujaan Noh dilihat jelas apabila dia turut menyertai Butterfingers menyanyikan lagu tersebut sehingga vokalis berusia 39 tahun itu tidak henti-henti mengucapkan terima kasih. 

Selain Obsesi, Butterfingers membasuh kerinduan pemujanya dengan seleksi seperti Jelly, Moksha, Garden City Of Lights, Chromes, Girl Friday, Faculties Of The mind, Selamat Tinggal Dunia Taman Tasik Perdana dan Tentang Tentang. -HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok