DIDAKWA berstatus jutawan pelaburan, penyanyi Datuk Sheila Majid menegaskan tidak pernah terbabit dalam mana-mana skim seperti yang dipaparkan dalam sebuah artikel.
Pemilik nama lengkap Shaheila Abdul Majid, 59, itu menegaskan artikel bertajuk ‘Bank of Malaysia menyaman Sheila Majid atas kenyataan dalam rancangan TV secara langsung’ sebagai berita palsu.
“Ini khabar angin. Ramai kawan-kawan dan keluarga yang mengambil berat terhadap saya bertanya mengenai artikel ini. Jadi, saya ingin memaklumkan kepada anda semua untuk kali ini sahaja, bahawa ini adalah penipuan.
Pertama sekali, tiada ‘Bank of Malaysia’ di Malaysia dan saya bukan jutawan seperti ditulis dalam artikel ini. Kalau saya boleh buat duit berjuta-juta melalui ‘tip’ itu, buat apa saya masih menyanyi?
“Saya tak pernah terbabit dalam mana-mana pelaburan seperti yang dikatakan. Ini hanyalah umpan untuk orang lain sertai skim palsu ini. Tolong hati-hati,” tulisnya dalam Instagram.
Menerusi perkongsian sama, penghibur yang genap empat dekad dalam arena nyanyian itu turut berharap kenyataan diberikan dapat menamatkan spekulasi liar.
Apa pun, saya dalam keadaan baik, Alhamdulillah. Saya harap, kenyataan ini dapat menamatkan segala spekulasi berkaitan artikel palsu itu.
“Terima kasih atas sikap ambil berat anda semua. Selamat menjalani ibadah puasa,” katanya.
Semakan HibGlam dalam ruangan komen mendapati rata-rata peminat mengetahui bahan berita yang disebarkan pihak tertentu itu umpan scammer.
Artikel yang tidak masuk akal langsung,” tulis seorang pengikutnya.
“Ini artikel scammer versi berbeza. Sebelum ini Datuk Seri Siti Nurhaliza, kemudian Tan Sri Michelle Yeoh. Hati-hati semua,” kata netizen. – HIBGLAM