Kaki bengkak, Azhan Rani tetap teruskan pendakian Himalaya

GENAP seminggu berada di Nepal, pelakon Azhan Rani bakal meneruskan pendakian ke Island Peak base camp yang mengambil masa antara lima hingga enam jam.

Pelakon drama Nur yang sebelum ini memaklumkan salji serta suhu semakin menurun ke -15 darjah selsius sekali gus menjadikan perjalanan rombongannya membabitkan 13 pendaki semakin mencabar.

Malah pemilik nama lengkap Azhan Abdul Rani, 48, itu turut menyatakan untuk beberapa hari akan datang mereka tidak dapat berkongsi perkembangan terkini kerana pendakian sudah bermula.

“Rasa gementar juga kerana beberapa jam lagi kami akan meneruskan perjalanan ke Island Peak Base Camp dari Chu Kuang yang juga hentian untuk melepas lelah.

Mungkin dalam beberapa hari lagi tiada apa-apa perkongsian atau video dari saya,” katanya dalam hantaran Instagram.

Menurut Azhan, kesihatannya dalam keadaan baik namun mengalami bengkak pada kaki kanan yang disedari selepas sampai di hentian di Chukhung, semalam.

Azhan turut mendedahkan tidak dapat tidur selain perlu duduk bersandar berikutan masalah oksigen yang semakin berkurang.

“Malam tadi saya tak dapat tidur sebab rasa kurang oksigen, manakala kaki kanan saya mula membengkak.

“Tapi alhamdulillah semuanya okay dan kami akan diperiksa tahap oksigen masing-masing, cuma pula rasanya boleh sembuh segera,” ujarnya.

Semalam, Azhan mendedahkan mereka terpaksa menahan ngantuk bagi membolehkan stamina kekal sebelum ke Base camp Island Peak.

Walaupun sudah sampai 11 pagi tadi di Chukhung kami tidak digalakkan tidur biarpun mata memang mengantuk sangat.

“Tidur awal hanya menyebabkan mudah sakit kepala dan serangan AMS iaitu sindrom mabuk gunung,” katanya.

Kongsinya lagi, seorang anggota rombongannya terpaksa dibawa turun ke lokasi lebih rendah kerana mengalami paras oksigen rendah.

“Hari ini (Isnin) saya berada di Lobuche, Nepal, dalam perjalanan ke Island Peak. Cuaca di sini sangat sejuk dan kami akan menempuh perjalanan lebih jauh.

“Pasukan kami akan berpecah, tinggal lima orang pendaki akan menuju ke Island Peak termasuk saya, manakala lima lagi pendaki akan menuju ke Everest Base Camp,” katanya.

Mengakui cabaran sebenar adalah di base camp Island Peak menuju puncak gunung, dia turut memohon doa orang ramai agar pendakian mereka dipermudahkan.

Azhan sebelum ini berkongsi rasa teruja bakal menawan puncak Island Peak atau Imja Tse yang terletak di Taman Negara Sagarmatha di selatan Nepal.

Katanya, pendakian setinggi 6,160 meter it bakal menjadi pencapaian tertingginya selepas berjaya mendaki Gunung Kalapattar dan Everest Base Camp pada 2019.

Lebih mencabar, pendakian ke puncak Imja Tse bukan sahaja dilitupi sali tetapi dia bersama pasukannya berkemungkinan mendaki pada bulan Ramadan.

Azhan mencetuskan idea melaksanakan pendakian amal bagi membantu insan memerlukan.

Pendakian bagi menggalas cabaran mengibar Jalur Gemilang di Banjaran Himalaya, Nepal bermula pada 25 Februari lalu sehingga 13 Mac 2024.

Objektif utama pendakian ini adalah untuk mengutip dana bagi membantu rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan AHSANA Kuala Lumpur di Puchong yang menempatkan orang kelainan upaya (OKU) dan Autism.

Sehingga kini Azhan pernah ‘menakluk’ EBC, Gunung Kalapattar (Nepal), Rinjani (Indonesia), Hallasan (Korea Selatan), Gunung Kinabalu (Sabah), Apad Runan dan Murud di Sarawak. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok