PELAKON Rita Rudaini meluahkan rasa kesal apabila segelintir netizen bersimpati dengan nasib bekas suaminya, Aidil Zafuan apabila mendakwa dia menghalang lelaki itu untuk berjumpa dengan dua orang mereka.
Tegas Rita atau nama lengkapnya Rita Rudaini Mokhtar, 48, netizen sepatutnya bersimpati dengan nasib yang dilaluinya sebagai ibu tunggal yang bersusah payah membesarkan anaknya dari mereka kecil hingga meningkat dewasa.
Tak payah nak konon-konon faham perasaan anak. Aku yang berpeluh-peluh bela anak daripada kecil, yang sana (bekas suami) sebut sikit nama bermodalkan air liur, terus kasihan.
“Aku tak faham. Buta hati, buta perut, sehala-galanya buta,” luah Rita ketika ditemu bual sebuah program hiburan.
Tambah pelakon filem Mami Jarum itu lagi, dia tidak akan memaafkan Aidil kerana lelaki itu pernah berkata anak pertama mereka, Airit Rayyan bukan darah dagingnya.
Bahkan, Rita turut menyatakan tidak akan memaafkan mana-mana pihak yang terlibat dalam isu perpisahannya dengan Aidil walaupun perkara itu sudah lama berlalu.
Satu benda yang aku ingat apabila anak pertama aku dikatakan bukan anak dia. Okey baik, anak orang lain? Jadi jangan tengok muka anak aku. Aku tidak akan bagi dia dekat.
“Aku tidak akan maafkan sampai bila-bila. Aku tak boleh paksa diri kata tidak sebab perkara itu kena ikhlas, semua yang terlibat aku tidak akan maafkan sampai bila-bila,” tegasnya.
Rita bagaimanapun menafikan ada menghasut anak-anaknya tidak bertemu dengan bapa mereka seperti yang diperkatakan sesetengah pihak.
Kata Rita, dia tidak boleh memaksa anak-anaknya untuk bertemu lelaki itu selepas sekian lama mereka tidak bersua muka.
Jasa bapa dia cuma bagi ‘benih’ sahaja! Tiada masa aku nak hasut. Anak aku dah besar. Aku tanya Rayyan, kalau tiba-tiba dia (Aidil) nak jumpa, Rayyan kata tak nak.
“Aku tidak boleh paksa. Jangan menilai orang dari segi luaran. Buka mata, buka hati,” katanya.
Sebelum ini, pelakon asal Kangar, Perlis itu pernah mengingatkan bekas suaminya yang juga pemain bola sepak kebangsaan supaya tidak berangan-angan untuk bertemu dengan anak-anak yang diabaikan sejak kecil.
Siapa? Tak payah (melawat). Masa kecil, kena basuh berak, tengah menyusu tak nak pula tengok. Dah besar, aku bela bagi pandai, dah senang tak payah basuh berak, tak payah berangan nak datang!
“Jumpa di padang Mahsyar nanti,” sindir Rita.
Jawapan yang diberikan oleh pelakon filem Mistik itu sekali gus meraih respons pengikutnya yang rata-ratanya menyokong dan kagum dengan kecekalannya membesarkan anak sendirian.
Sebagai info, Rita berkahwin dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada 2008 namun berpisah pada September 2013.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna. – HIBGLAM