Janna Endoro bukan sindir orang Kelantan

MENGETENGAHKAN isu sosial dan norma kehidupan masyarakat di negeri Kelantan sememangnya sebuah risiko besar yang dipikul produksi filem Janna Endoro.

Jika tersalah tafsir, bukan sahaja menerima maklum balas negatif, malah mampu mencetuskan polemik isu kemasyarakatan sehingga boleh meledakkan kemarahan ramai.

Antara realiti hidup masyarakat yang dikatakan sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang diketengahkan dalam filem ini ialah suami suka berjudi, malas kerja dan penyeludupan senjata di kawasan sempadan.

Meleraikan dakwaan sengaja menaikkan realiti kehidupan segelintir masyarakat di Kelantan, penerbitnya, Syed Aiman menafikan sengaja mencipta sensasi semata-mata untuk melariskan filem sulungnya.

Tegas pemilik nama penuh, Syed Kamaruzaman Syed Mahmud, 49, itu, jalan cerita filem tersebut hanya rekaan semata-mata.

Sekiranya ada persamaan dengan realiti kehidupan, perkara itu adalah kebetulan.

“Semua perkara yang saya paparkan dalam filem ini hanyalah rekaan semata-mata. Sebagai orang Kelantan, saya sekadar menyelami kehidupan segelintir masyarakat di sana.

“Kalau hayati filem ini, saya tiada niat langsung hendak sindir orang Kelantan, malah lebih kepada mengangkat nilai estetika yang ramai tidak nampak ada di negeri tersebut.

“Saya ketengahkan norma dan budaya Kelantan seperti permainan wau serta babak jemur ikan kering yang cukup sinonim. Semua yang dipaparkan dalam filem ini adalah hasil pemerhatian dan pengalaman sendiri,” katanya kepada HibGlam.

Syed Aiman juga berasa beruntung memandangkan pengarah filem berkenaan, Sham Jr. juga berasal dari Kelantan.

Mengulas pemilihan pelakon Trisha Ooi sebagai watak utama, suami kepada pelakon dan penyanyi Linda Rafar itu menyifatkan bintang baharu itu sebagai pilihan tepat.

“Kami lakukan sesi uji bakat dengan beberapa pelakon lain yang boleh bertutur dialek Kelantan tetapi terpaksa tolak kerana tidak boleh menunggang motosikal pula.

“Kami tak mahu pelakon yang manja kerana watak Janna adalah seorang wanita lasak.

“Selepas melihat lakonannya, Trisha memang pilihan tepat ditambah pula dia pandai bersilat,” ujarnya.

Bangga

Sementara itu, Trisha pula melahirkan rasa bangga dan syukur kerana berpeluang membintangi sebuah filem yang mengangkat wanita sebagai hero.

Katanya, cabaran utama untuk menjayakan watak Janna ialah dialek Kelantan memandangkan dia bukan berasal dari negeri di Pantai Timur itu.

“Jarang kita nak tonton filem yang ketengahkan kaum Hawa sebagai watak utama.

“Cabaran utama watak Janna ini ialah dialek Kelantan. Berminggu-minggu juga saya belajar untuk fasih. Syukur ramai kawan-kawan banyak membantu.

“Saya juga ada pergi kelas semata-mata untuk belajar dialek Kelantan,” kongsinya.

Ujarnya, penglibatannya dalam filem ini juga dilihat satu penghargaan buat untuknya sebagai pelakon selain berjaya menonjolkan kelebihan diri iaitu tangkas bersilat.

“Untuk saya, ini sebuah penghargaan sebab berlakon dalam filem aksi adalah salah satu impian.

“Selain itu, emosi watak Janna sangat berat dan itu juga salah satu cabaran buat diri saya. Berbulan-bulan juga saya nak masukkan ‘roh’ Janna dan syukur berjaya,” katanya lagi.

Filem Janna Endoro mengisahkan Janna seorang isteri yang patuh dan taat kepada suaminya, Mat Dat lakonan Pekin Ibrahim. Mereka mempunyai anak perempuan, Dhia berusia tiga tahun.

Meskipun Janna bekerja membantu menyara keluarga, namun selalu dimarahi dan dipukul oleh suaminya.

Selain Trisha, filem terbitan Double Channel Sdn. Bhd. tersebut turut dibarisi pelakon handalan seperti Mohd. Asrulfaizal, Wan Hanafi Su, Josiah Hogan, Zoee Tan dan Danny X-Factor.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok