HAMPA (awak) jangan memandai-mandai ajar anak kami itu ini ya.”
Itu peringatan pelakon Rozita Che Wan buat individu yang suka ‘menghentam’ anak perempuan tunggalnya, Aaisyah Dhia Rania.
Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, sebagai ibu dia memahami minat kanak-kanak zaman ini selain lebih rela membiarkan puterinya itu melakukan apa yang disukai asalkan tidak mengganggu kerjanya.
“Kalau dia melalak, satu benda pun tidak boleh nak buat kerja.
Biarlah dia nak pakai kasut tumit tinggi, sanggul tinggi gunung atau suka pakai alat solek.
“Janji dia gembira. Kita dulu kecil-kecil main lumpur, sekarang mereka mahu set alat solek,” katanya menerusi Instagram.
Rata-rata netizen mempertahankan Che Ta, 51, apabila sependapat agar membiarkan Aaisyah meneroka aktiviti kegemaran.
Biarkanlah, anak dia. Seronok tengok keletah dia, lagipun sekali seumur hidup sahaja,” ujar pengikut.
“Tidak mengapalah Ecah (nama panggilan Aaisyah). Janji bahagia, saya suka tengok dia,” tutur peminat.
Sebelum ini, Aaisyah kerap menjadi bahan kecaman netizen apabila dikatakan suka bersolek seperti wanita dewasa.
Aaisyah merupakan anak hasil perkongsian hidup Che Ta dengan aktor Zain Saidin selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. – HIBGLAM