Jalan terus, tiada lagi kerisauan – Daniel Fong

BERMULA sebagai model iklan komersial pada usia 19 tahun, pelakon Daniel Fong tidak pernah terfikir akan diterima baik dalam pasaran drama Melayu.

Menyifatkan perjalanan kerjaya seninya berlaku secara tidak sengaja, Daniel berkata, pada awalnya dia sekadar mahu mencuba nasib selepas disarankan individu yang kini menjadi pengurusnya, Jamal untuk berlakon dalam sebuah drama.

Ujar jejaka berusia 30 tahun itu, sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan ekonomi di Universiti Monash, Melbourne, Australia selama dua tahun, dia pernah terbabit dalam beberapa drama berbahasa Cina ketika berusia 21 tahun.

Namun, sekembalinya ke tanah air, Daniel beralih arah dengan menceburi bidang korporat sesuai dengan kelulusan dimiliki.

Bagaimanapun, dek kerana minat mendalam dia kembali aktif sebagai model komersial secara separuh masa bagi menambah duit poket.

“Ketika berada dalam dunia korporat, saya kembali menjadi model secara separuh masa sekitar 2018 untuk mencari duit lebih.

Suatu hari Jamal menghubungi saya untuk tawarkan berlakon dalam sebuah drama Melayu. Saya fikir, apa salahnya mencuba selepas melihat ada pelakon berbangsa Cina lain berjaya dan diterima baik seperti Alvin Chong dan Sean Lee.

“Jadi saya terima tawaran untuk berlakon dalam drama Melayu pertama saya berjudul Derhaka Cinta Jebat disamping Azlee Khairi and Datin Elvina Mohamad,” ujarnya.

Daniel berharap diberi peluang membawakan watak gelap seperti pembunuh suatu hari nanti.

Bagaimanapun, anak jati Petaling Jaya, Selangor itu berdepan cabaran besar apabila tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

Daniel mengakui penguasaannya dalam bahasa Melayu ketika itu sangat lemah sehingga menjadi bahan sindiran di set penggambaran sekali gus timbul kerisauan dalam hati.

Ketika terima tawaran itu, saya fikir bahasa Melayu saya okey tetapi rupa-rupanya tidak. Teruk saya kena kutuk gara-gara tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Malah, ada pelakon dan kru menjadikan kelemahan saya sebagai bahan jenaka. Tapi saya tidak terasa hati ketika itu kerana tidak faham apa yang mereka kata. Disebabkan kelemahan itu juga, babak lakonan saya terpaksa dilakukan berulang kali kerana ada banyak kesilapan.

Ketika itu juga, ada yang pertikai keberadaan saya dalam industri seni Melayu. Walaupun tidak bercakap secara berdepan, saya tahu sindiran itu ditujukan kepada saya,” katanya .

Daniel bersyukur dianugerahkan ibu bapa yang memahami dan sentiasa menyokong minatnya.

Jelas Daniel lagi, dia beruntung apabila sutradara drama itu, Ejump Mohd memahami keadaan itu dan tidak menyalahkan dirinya.

Malah, Ejump menggalakkannya menghadiri kelas penguasaan bahasa Melayu bagi memperbaiki kelemahan itu.

Dia yakin jika saya dapat menguasai bahasa Melayu, saya boleh pergi jauh dalam bidang ini. Sejak itu, saya berusaha keras dan memperbanyakkan menonton drama-drama berbahasa Melayu.

“Begitupun, kaedah paling berkesan adalah ketika berada di set penggambaran. Apabila membaca skrip dan ada perkataan yang saya tidak faham, saya akan terus bertanya kepada pelakon lain dan mereka banyak membantu,” jelasnya yang dihujani tawaran menjayakan watak utama.

Baca artikel penuh menerusi www.kosmo.com.my atau dapatkan akhbar Kosmo! di kedai-kedai berdekatan.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok