Iqbal Zulkefli bakal sambung belajar di Al-Azhar

USAHAWAN dan penyanyi sensasi, Iqbal Zulkefli merancang menyambung pengajian dalam bidang Syariah Islamiyah dan Bahasa Arab di universiti terkemuka, Al-Azhar, Mesir.

Iqbal, 28, ketika dihubungi HibGlam berkata, sebelum ini dia pernah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajiannya di Mesir namun menolaknya selepas memilih menyambung pelajaran di  Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

Betul, saya dalam perancangan untuk menyambung pengajian dalam jurusan Syariah Islamiyah dan Bahasa Arab di Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Sebelum ini saya pernah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di sana namun memilih untuk belajar di ASWARA dalam bidang Penulisan Kreatif,” katanya kepada HibGlam.

Ujar bekas pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia, (STAM) di Maahad Muhammadi Pasir Mas, Kelantan itu lagi, ketika di bangku sekolah, dia antara pelajar terbaik subjek Syariah dan bahasa Arab Tinggi dengan keseluruhan 26 mata pelajaran.

Saya dapat tawaran melanjutkan pengajian ke Mesir selepas tamat menduduki STAM. Saya antara pelajar yang cemerlang dalam subjek Syariah dan Bahasa Arab di Maahad Muhammadi Pasir Mas, Kelantan.

“Tapi saya menolak tawaran tersebut kerana memilih untuk melanjutkan pengajian di ASWARA dalam bidang Penulisan Kreatif,” jelasnya.

Tambah Iqbal, minat dan keinginannya untuk kembali menyambung pengajian dalam jurusan asal di Mesir timbul selepas terfikir mahu mengikut jejak langkah ibu bapanya.

“Ibu dan ayah saya juga pernah belajar di Mesir. Kalau tidak silap saya dalam bidang Pendidikan al-Quran dan Sunnah. Mereka bertemu jodoh juga di sana.

“Jadi semua anak-anaknya dihantar belajar ke sekolah agama. Sebenarnya bila saya sambung dalam bidang lain, ibu sedih dan menangis sebab berharap saya belajar dalam bidang agama.

“Cuma sekarang, tiba-tiba keinginan untuk belajar semula ilmu agama timbul semula. Kalau dahulu, saya cuma ikut kehendak ibu bapa yang mahukan anak-anaknya belajar di sekolah agama. Jadi saya ikutkan sahaja,” katanya.

Selepas menceburi industri hiburan, Iqbal mengakui sedikit sebanyak terbit rasa malu terhadap orang tuanya lebih-lebih mereka dihormati masyarakat setempat.

Ada juga rasa malu sebab ibu bapa saya ada nama yang baik dan dihormati. Ayah imam di masjid. Ibu pula memang orang hormat dia. Bila masuk dalam bidang glamor, saya banyak buat hal pula.

“Bagaimanapun, orang tahu saya macam mana, jadi perkara iut tidak terlalu menjejaskan. Lagi satu, tujuan saya mahu sambung belajar sebab duit itu tidak boleh memberi apa-apa. Sementara boleh belajar, kita belajarlah,” ujarnya.

Terdahulu, Iqbal berkongsi dalam Instagram tentang hasrat menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar, namun hatinya berbolak-balik apabila terpaksa berjauhan dengan anaknya, Ziyad.

Kata bekas peserta program Big Stage musim keempat (BS4) itu, dia kini sedang menguruskan pendaftaran dan akan menyambung pengajiannya ke Mesir pada bila-bila masa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok