PELAKON sensasi Zarina Anjoulie menafikan cuba menangguk di air yang keruh apabil berkongsi kisah pernah dicurangi tatkala isu krisis rumah tangga pasangan selebriti, Aliff Aziz dan Bella Astillah hangat diperkatakan masyarkat.
Tidak berniat menyibuk, Zarina atau nama lengkapnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 37, berkata segala perkongsian hanya berkaitan dirinya sahaja selain enggan masuk campur urusan orang lain.
Video terakhir yang saya buat (mengenai curang) tiada kena mengena dengan kes Bella.
“Saya tiada teman lelaki yang curang ke? Video ini memang mengenai saya.
Saya tidak mahu masuk campur urusan orang lain, saya hanya buat hal sendiri, cerita tentang diri saya,” katanya menerusi hantaran dalam Instagram.
Pelakon yang mesra disapa Anju itu sebelum ini memuat naik sebuah video meluahkan perasaan dan pengalaman diri disakiti seseorang dalam perhubungan terdahulu.
Susulan itu, ramai yang membuat andaian Anju sengaja berkongsi kisah itu untuk bercakap mengenai Aliff memandangkan mereka pernah dikaitkan menjalin hubungan rapat.
“Ada yang ingat saya sibuk kes Bella. Saya juga melalui situasi dalam hidup.
Banyak lagi perkara saya nak fikir daripada sibuk hal orang lain. Saya pun ada kehidupan sendiri.
“Bukan Bella sahaja yang kena curang, hakikatnya ramai lagi. Saya juga salah seorang daripada mereka,” ujarnya tegas.
Paling penting kata Anju, wanita tidak sepatutnya lemah apabila lelaki berlaku curang sebaliknya cuba untuk kuat dan refleksi diri.
“Kita tidak boleh ubah orang yang curang. Mereka lakukan apa yang mereka mahu.
“Apa yang boleh buat adalah refleks semula diri dan tanya kenapa kita terima semua ini,” katanya.
Terdahulu, rumah tangga Bella dan Aliff, sekali lagi menjadi topik hangat apabila suaminya itu didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhanies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara, pada 9 Mac lalu.
Ruhainies bagaimanapun mendakwa hanya berkawan dengan Aliff sejak 10 tahun lalu dan mereka kini menjalani penggambaran drama bersiri Terjerat. – HIBGLAM