PELAKON meningkat naik, Erysha Emyra belum bersedia untuk menjalin hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki kerana mahu memberi fokus pada kerjaya seni.
Menurut Erysha atau nama penuhnya Nur Erysha Emyra Zakaria, 25, fokusnya buat masa sekarang hanya untuk kerjaya seninya baru sahaja hendak bermula dan juga keluarga.
“Hendak ada hubungan istimewa dengan mana-mana lelaki mungkin belum lagi buat masa sekarang.
“Saya masih sangat baru dalam industri jadi, fokus sekarang hanyalah untuk kerjaya dan keluarga sahaja,” katanya kepada HibGlam.
Sempat mengulas mengenai gosip cinta dengan pelakon Hun Haqeem, dia berkata hubungan mereka hanya sekadar kawan seindustri.
Ujarnya, gosip sebegitu mungkin timbul selepas melihat keakraban mereka selepas berlakon bersama dalam drama Chinta Wrong Direction tahun lalu.
Bercinta? Pastinya tidak sama sekali. Hubungan saya dengan Hun hanya kawan di set penggambaran dan mungkin rapat sebab sudah bekerja bersama dalam tempoh yang lama.
“Hun seorang lelaki yang baik, bertutur pun lemah lembut. Hendak kata dia ada ciri-ciri lelaki idaman, saya rasa dia ada dan ramai lelaki lain pun ada juga,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Erysha pernah menjadi bualan ramai dan dikaitkan dengan Hun susulan tular beberapa foto dan video memaparkan hubungan mesra antara mereka. – HIBGLAM