BERPEGANG prinsip berkongsi rezeki pada bulan mulia mendorong GNI Pharma Sdn. Bhd. membawa golongan asnaf berbuka puasa bersama golongan selebriti di lokasi mewah.
Malah, syarikat makanan tambahan itu sanggup berbelanja hampir ratusan ribu demi menyantuni golongan yang tidak bernasib baik.
Semua itu membabitkan kehadiran hampir 400 tetamu termasuk golongan asnaf, pendakwah terkenal dan selebriti tanah air.
Buat Rozita Che Wan atau lebih dikenali atau lebih dikenali sebagai Che Ta, 51, sebagai seorang yang dikenali, menjadi tanggungjawabnya setiap kali Ramadan menghabiskan masa dengan aktiviti amal atau kebajikan.
“Sebagai selebriti kita ada tanggungjawab untuk sentiasa membantu mereka yang memerlukan terutama pada bulan Ramadan.
“Saya sendiri bukan berasal daripada keluarga senang seperti yang saya dedahkan sebelum ini. Kita ada rezeki lebih sedikit, kita kongsi dengan golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Tak terasing
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif GNI Pharma, Syed Gaddafi Syed Saifuddin berkata, pihaknya mahu berkongsi rezeki dan memberi momen tidak dilupakan oleh golongan asnaf apabila diraikan dalam majlis Grand Iftar di hotel yang terletak di kawasan segi tiga emas di ibu kota.
“Kami mahu golongan asnaf rasa dihargai dan tidak terasing.
“Idea bawa golongan asnaf kerana mereka mungkin jarang dapat peluang makan di hotel mewah, selain bertemu lebih dekat pendakwah terkenal dan selebriti,” katanya.
GNI Pharma Sdn. Bhd. menganjurkan program Grand Iftar bagi meraikan golongan asnaf sekitar Lembah Klang dengan kehadiran beberapa selebriti seperti pelakon Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan suami yang juga bekas Kapten
Harimau Malaysia, Zaquan Adha Abdul Razak dan pelawak Achey Bocey.
Tidak ketinggalan, para asatizah terkenal negara, antaranya Ustazah Asma’ Harun. Turut hadir, Pengarah Urusan GNI Pharma, Rahmat Hassan.
Mengulas lanjut, Syed Gaddafi memberitahu, syarikat tidak menyantuni asnaf pada Ramadan sahaja.
Sebaliknya, katanya, mereka menjalin kerjasama dengan beberapa madrasah di seluruh tanah air dan konsisten memberi sumbangan setiap bulan.
“Sebelum ini, kami bawa anak-anak yatim dan tahfiz membeli baju raya di pusat beli-belah.
“Insya-Allah, kami akan terus konsisten membantu kerana percaya apa yang diperoleh sebahagiannya bukan milik kita.
“Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, jadi kenalah beri balik kepada golongan yang memerlukan termasuk berkolaborasi dengan artis popular,” katanya. – HIBGLAM