Hidup Nomad lebih ‘senang’ selepas kahwin

SELEPAS dua tahun tidak hadir dengan buah tangan baharu, penyanyi dan penulis lagu, Nomad meluncurkan single terbaharu berjudul Mengejar Cinta dan akan membuat pelancaran lagu tersebut, secara rasmi selepas Aidilfitri nanti.

Menyifatkan Mengejar Cinta hasil ciptaan sepenuhnya diri sendiri sebagai hadiah Istimewa untuk peminat, Nomad atau nama sebenarnya Nur Mohd. Alieff Ayub, 36, mahu membuktikan bahawa dirinya masih lagi ada dalam industri, dan tidak pernah meletakkan titik noktah terhadap karier muziknya.

KEHIDUPAN Nomad kini lebih terurus selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga bersama isteri, Farah sejak Mei tahun lalu. – AMARULLAH ZAINUZZAMAN

Kesempatan bertentang mata dengan Nomad semasa majlis berbuka puasa anjuran label, Indigital Music Malaysia, baru-baru ini memberi peluang kepada HibGlam untuk mengupas perkembangan terkini bekas peserta program, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu.

HIBGLAM: Lama tidak mendengar perkembangan terbaharu Nomad, selepas memasuki program GV7 pada tahun 2020. Boleh kongsikan antara perkembangan terkini?

NOMAD: Alhamdulillah, saya baik dan sihat-sihat sahaja. Perkembangan terbaharu, saya ada melancarkan single berjudul Mengejar Cinta pada pertengahan Februari lalu, selepas dua tahun muncul dengan lagu bertajuk Tanda Setia.

Malangnya, Tanda Setia tidak mendapat liputan meluas kerana kurang promosi disebabkan Covid-19. Saya ambil masa selama dua tahun untuk keluarkan single Mengejar Cinta kerana saya mahukan sebuah karya yang betul-betul memuaskan hati saya.

Bagaimana pula dengan kehidupan anda selepas hampir setahun mendirikan rumah tangga bersama isteri, Farah Wahidah Hassan sejak Mei tahun lalu?

Alhamdulillah, kehidupan selepas berkahwin lebih terurus dan teratur. Tiada perubahan ketara sebenarnya, melainkan semuanya menjadi lebih teratur. Tahun ini juga merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai seorang suami. Jadi makan minum saya ketika berpuasa, orang jaga. Begitu juga dengan pakaian apabila sekarang isteri yang akan tentukan baju untuk saya pakai. Sebelum ini saya tidak kisah sangat, pakai apa sahaja yang ada saja.

Berkahwin dengan seorang wanita biasa yang bukan dalam kalangan orang industri, adakah isteri faham tentang kehidupan sebagai seorang anak seni?

Dia faham, sangat faham. Cuma sebelum kami mengambil keputusan untuk berkahwin, saya ada minta dengan isteri untuk berkata ‘tidak’ dengan beberapa perkara. Perkara pertama jangan cakap ‘tidak’ pada keluarga saya, kedua pada kerja saya dan yang ketiga, jangan cakap ‘tidak’ pada sukan badminton saya.

Soal cahaya mata pula bagaimana? Adakah anda dan isteri sebenarnya membuat perancangan keluarga untuk menimang zuriat?

Setakat ini, kami belum lagi dikurniakan cahaya mata. Cuma kalau boleh, saya dan isteri mahu berikan yang terbaik pada anak kami nanti.

Saya nak sediakan kelengkapan yang sempurna untuk anak saya. Jadi, saya kena kukuhkan dahulu kewangan keluarga sebelum bersedia untuk menimang cahaya mata. Insya-Allah. Jawapan saya, jika disoal tentang cahaya mata oleh keluarga atau sesiapa sahaja, saya akan berikan jawapan selamat, iaitu belum diberikan rezeki lagi.

Bagaimana sambutan Aidilfitri anda bersama isteri pada tahun ini nanti?

Masalah perempuan, bila dia kata tidak kisah, itu sebenarnya menjadi masalah pada suami. Sama seperti situasi saya sekarang. Bila saya tanya isteri, mahu beraya sama ada Terengganu atau Kedah, dia kata terpulang pada saya.

Jadi, sebagai ketua keluarga, saya membuat keputusan untuk beraya dahulu di kampung belah saya iaitu di Kemaman, Terengganu.

Saya akan balik ke sana dua hari sebelum raya. Kemudian, pada raya kedua, saya akan balik ke kampung belah isteri pula di Alor Setar, Kedah. Dari Terengganu, kami akan balik dahulu ke Kuala Lumpur dan menaiki penerbangan ke Kedah nanti.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok