Hebat! Tom Jones epitome usia sekadar nombor

BAKAL menginjak usia 84 tahun pada tanggal 7 Jun 2024, pemilik nama lengkap Sir Thomas Jones Woodward OBE atau nama pentasnya, Tom Jones membuktikan usia hanya susunan klise nombor-nombor.

Buktinya, pada kunjungan ke Kuala Lumpur menerusi konsert jelajah Ages & Stages minggu lalu, susuk kelahiran Treforest, Wales itu ternyata menjadi blueprint atau cetakan biru buat penyanyi generasi baharu.

Jika kesihatan dijaga dengan betul, ambil pemakanan seimbang dan tidak sesekali menyentuh bahan terlarang seperti dadah, maka terbentanglah permaidani indah buat seseorang penyanyi untuk terus bersenandung merdu penuh tenaga walau usia sudah pun melepasi garis 80 tahun.

Mendendangkan sekitar 20 buah lagu termasuklah hit nombor satunya, It’s Not Unusual, Jones bukan sahaja masih kekal bertenaga pada usia hampir melangkaui 84 tahun, beliau juga masih bijak berjenaka dan berkomunikasi dengan audiens di Dewan Merdeka, WTC KL.

Masih ‘telan kaset’

Kalau tidak salah telinga penulis, apa yang dipertontonkan Jones dengan setiap butir perkataan nyanyian penuh karisma dan energi, keseluruhan persembahannya bagai rakaman lagu versi studio ketika usianya masih hijau suatu ketika dahulu.

Senang cerita, memang telan kaset habis! Tiada perubahan langsung. Yang berubah mungkin hanya fizikal dan kedutan wajah kian ketara. Itu merupakan sesuatu yang alami dilalui makhluk bernama manusia.

POPULAR dengan hit nombor satu It’s Not Unusual, Tom Jones teruja  sekali lagi mengadakan persembahan di Kuala Lumpur.

Dari segi penguasaan pentas, listrik nyanyian, nada tinggi dan kuasa penghibur sejati masih dimiliki lelaki yang pernah dinamakan sebagai Artis Baharu Terbaik Grammy Awards 1966 itu.

Selain It’s Not Unusual, Jones turut melantunkan seleksi popularnya, termasuklah What’s New Pussycat?, Sexbomb dan Green Grass of Home.

Sesekali, Jones berbicara dengan audiens bahawa dia sendiri tidak menyangka masih diberikan kudrat dan kesempatan untuk menghiburkan peminatnya di serata dunia pada usia yang kian meniti jalan akhir.

90 tahun? Siapa yang tak mahukan berada pada usia begitu. Saya akan berusia 84 tahun tidak lama lagi. Tanggal 7 Jun adalah hari kelahiran saya,” ujarnya sebelum melantunkan lagu Delilah.

Berikutnya, beliau terus ligat menghiburkan penonton mendendangkan deretan lagu yang dipopularkannya seperti Lazarus Man, You Can Leave Your Hat On dan If Only Knew.

MESKI sudah berusia 84 tahun, persembahan Tom Jones kekal bertenaga.

Turut berkumandang dengan vokal luar biasa Jones adalah ketika segmen ringkas tribute buat legenda muzik dunia, mendiang Prince saat antem ikonik Kiss didendangkan.

Beredar dari pentas menunggu namanya diseru audiens, seperti kebanyakan persembahan artis antarabangsa, Jones tidak menghampakan peminat setianya.

Dia kembali dengan encore melantunkan lagu penamat seperti One Hell of a Life, Strange Things Happening Every Day dan Johnny B. Goode.

Melihat manusia berusia 84 masih berkudrat menghiburkan penggemar, itu sesuatu yang sungguh luar biasa!

Tidak hairan ramai yang mencemburui Jones dan menjadikannya sebagai teladan dan idola. Biar usia dan masa terus bergulir, selagi diberikan kesempatan mengukir memori sebagai seorang penghibur, maka itulah tugas yang dilaksanakan sebaik mungkin. Itulah Sir Tom Jones.

Terima kasih kerana setia dan sedia menghibur di bumi Kuala Lumpur.
Semoga terus diberikan usia yang panjang dan menjadi antara bintang yang terus berkelipan di langit meskipun suatu hari nanti, malap ronanya adalah sesuatu yang pasti.

Persembahan Tom Jones di WTC KL mendapat respons positif, terutama daripada kelompok peminat yang membesar era 1970-an hingga 1990-an . – LIVE NATION MALAYSIA & JINSON CHEE

Popular dengan hit nombor satu It’s Not Unusual, Tom Jones teruja dapat sekali lagi mengadakan persembahan di Malaysia. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok