BERSERONOK dan nikmati kemenangan ini.”
Itu yang dititipkan pelakon, Beto Kusyairy kepada Amir Jahari selepas lagu Hasrat yang menjadi runut bunyi filem Imaginur diumumkan sebagai juara keseluruhan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) semalam.
Beto, 44, berkata, dia sangat berbesar hati apabila diberi peluang muncul sebagai cameo bersama heroin filem Imaginur iaitu Diana Danielle pada persembahan Amir.
Besar hati aku Amir (jadi cameo). Subhanallah, aku tak tahu secara terperinci perkara yang dia tempuh sebelum dan sepanjang bergelar seniman.
“Tetapi aku tahu perjalanan yang dia lalui tak semua mampu untuk dipikul dan istimewanya, dia bertahan walau dalam kepayahan.
“Sesuatu yang tragis berlaku dalam hidup ada sebabnya dan itu adalah rahsia Allah SWT,” katanya dalam Instagram.
Beto atau nama penuhnya Nurkusyairy Zakuan Osman turut bersyukur Amir tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan sebagai anak seni walaupun sudah melalui pelbagai dugaan hidup.
“Syabas! Kau dan keluarga adalah termasuk dalam kalangan orang yang baik.
“Terima kasih kerana tak putus semangat. Aku percaya kau akan tetap seperti sekarang, tunduk dan merendah walau sedang dalam kemasyhuran.
“Buat masa sekarang, nikmati semuanya. Syukur alhamdulillah. Hasrat juara dalam hati semua!” katanya lagi. – HIBGLAM