Hanya Allah tahu niat saya bintangi La Luna – Shaheizy Sam

PELAKON Shaheizy Sam menegaskan setiap individu mempunyai hak masing-masing untuk menyuarakan pandangan mereka mengenai filem lakonannya, La Luna yang didakwa mengandungi unsur ‘soft porn’ dan mengetengahkan fahaman liberal.

Sebagai pelakon, Sam, 41, terbuka menerima pandangan daripada semua pihak namun sentiasa yakin bahawa Allah SWT mengetahui niatnya berlakon dalam filem tersebut.

“Sebab utama saya tidak menghebahkan isu dan beri pandangan peribadi kerana percaya pendapat setiap individu berbeza-beza.

Ustaz dan pendakwah pun ada pandangan yang berbeza. Jadi pandangan siapa yang kita mahu terima.

“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu niat kita kenapa buat sesuatu perkara. Jadi, saya tak mahu beri pandangan sebab saya sudah ada pendirian saya mengapa terima tawaran filem ini,” katanya yang ditemui selepas majlis pelancaran program Ramadan Astro, semalam.

Sam turut berkongsi ada mendapatkan maklum balas beberapa golongan agamawan mengenai filem berkenaan sewaktu menunaikan ibadah umrah baru-baru ini dan rata-rata memberi respons positif.

“Semuanya berbalik kepada kita bagaimana nak kaitkan dengan diri sendiri, agama atau individu lain. Semua itu hak masing-masing dan saya terima.

“Saya ada borak dengan ustaz di Mekah mengenai filem ini dan mereka sudah tonton, mereka kata okey sahaja.

“Saya tak mahu beri pandangan sebab saya tahu tidak akan diterima oleh orang lain. Jadi, terpulang pada hati bagaimana hendak hukum filem itu,” tuturnya.

Bintang filem Adnan Sempit itu bagaimanapun sentiasa percaya dengan ketelusan pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) dalam menapis sesebuah karya bagi mengelakkan penonton mendapat impak negatif.

Saya ada satu perasaan selamat apabila kita tahu ada LPF. Saya tak rasa mereka akan lepaskan filem yang tidak elok ditonton oleh penonton Malaysia.

“Setakat ini ramai yang datang kepada saya dan puji filem La Luna.

Bagi saya, filem La Luna adalah salah satu naskhah kegemaran saya sepanjang hayat. Pemikiran saya juga tidak sampai ke tahap liberal sehingga mengetepikan agama atau sebaliknya.

“Apapun, semuanya berbalik kepada penilaian individu itu sendiri sama ada mereka hendak terima atau tidak,” katanya lagi.

Terdahulu, La Luna yang ditayangkan di pawagam sejak November tahun lalu, dikecam netizen sejak disiarkan menerusi platform penstriman, Netflix pada 9 Februari lalu.

Segelintir pihak berpendapat, filem bertentangan dengan nilai dan adab Islam selain menyelitkan elemen ‘soft porn’ sehingga boleh mengundang persepsi buruk masyarakat.

Selain Sam, La Luna arahan M Raihan Halim turut dibintangi Sharifah Amani, Farah Ahmad, Nam Ron, Wan Hanafi Su dan Hisyam Hamid. –  HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok