PERTAMA kali diundang ke China, namun populariti kumpulan Dolla sudah setanding artis K-pop apabila dikerumuni peminat di negara itu.
Penyertaan dalam program realiti Show It All itu turut menyerlahkan seorang anggotanya iaitu Syasya yang dikejar peminat ketika dilihat bersiar-siar di sekitar bandar tembok besar itu.
Pada awalnya, pemilik nama lengkap Norsyasya Afiqah Sharizal, 23, menyangka sekelompok remaja yang salah orang apabila meminta mahu bergambar.
Peminat China sangat comel. Pada mulanya, saya ingat mereka salah orang tetapi selepas itu mereka memanggil nama saya,” katanya menerusi video TikTok.
Rata-rata peminat tempatan juga berbangga dengan pencapaian terbaharu Dolla yang sudah mengumpul ramai pengikut dari luar negara.
Dolla sudah terkenal di sana (China). Saya sangat berbangga menjadi rakyat Malaysia,” kata peminat.
“Gembiranya tengok Syasya ramai peminat China. Dia seperti Shila Amzah dulu-dulu di sana,” ujar pengikut.
Dolla dah macam idola Korea. Segala kerja keras mereka sudah terbayar dengan populariti di China,” tutur netizen.
Difahamkan, kumpulan yang memiliki empat orang ahli wanita itu menerima tawaran program realiti tersebut terbitan penyanyi Exo Lay yang harus berkongsi pengalaman seninya untuk bertanding dengan peserta lain.
Setiap minggu program terbabit akan menjemput kumpulan wanita di seluruh dunia dan Dolla menjadi pembuka tirai pada episod pertama. – HIBGLAM