Finas teliti gaji pelakon kanak-kanak, perjuang hak sama rata

BAGI menyahut saranan Menteri Komunikasi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan melakukan penelitian terperinci berhubung isu gaji pelakon kanak-kanak bagi memastikan mereka mendapat hak sama rata.

Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman berkata, isu gaji penggiat seni di luar bidang kuasa pihaknya tetapi Finas akan berbincang mengenai perkara tersebut sama ada boleh diaplikasikan menerusi Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Sebenarnya, isu gaji pelakon kanak-kanak ditadbir agensi lain iaitu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jadi Finas perlu patuh perkara itu.

“Isu ini sudah lama sebenarnya, cuma sekarang ini diberikan tumpuan lebih. Sepatutnya, bukan Finas, tetapi penerbit yang patut tahu kalau ada ambil pelakon bawah 18 tahun.

“Namun, tidak mengapa selepas Finas mengetahui perkara ini, kami boleh syaratkan dalam SPP dengan lebih teliti dan tegas,” katanya ditemui pada majlis pelancaran dan sidang media filem Game of Life di sini, baru-baru ini.

Selain itu, Kamil akan mengadakan perbincangan bersama pihak Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) bagi mencari solusi bagi isu terbabit.

Sejak 2015 lagi, saya sudah tekankan untuk tetapkan kadar minimum (bayaran pelakon). Ini juga perkara saya bincangkan bersama Gafema yang terdiri daripada 11 persatuan seni dibawahnya. Insya-Allah kita akan sampai ke tahap itu.

“Bayaran juga perlu ikut kepada akreditasi pelakon, siapa yang sudah menang anugerah bayarannya lain dengan pendatang baharu.

“Inilah antara cabaran dihadapi Finas dan saya memang hendak selesaikan masalah ini sebelum perkhidmatan saya tamat. Perkara ini memang penting, pelakon yang mendapat bayaran cukup akan gembira dan memberikan 100 peratus dalam lakonannya,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Kamil turut menegaskan mengenai kepentingan kontrak antara pelakon dan pihak produksi bagi memastikan setiap permasalahan mudah untuk diselesaikan.

Kebanyakan masalah yang kami hadapi, semuanya berpunca daripada ketiadaan kontrak. Saya hanya boleh dengar daripada kedua belah pihak tapi ‘kertas’ (kontrak) tiada.

“Ini bukan menyusahkan tetapi ujuannya untuk menyatakan situasi sebenar dari mula dan ini kewajipan saya. Ini semua mengenai tanggungjawab Finas yang memberi permit.

“Namun, sebagai penerbit perlu tahu juga mengenai perkara ini. Finas ada peranan tersendiri dan begitu juga penerbit yang perlu memainkan peranan sepatutnya terutama mengenai bayaran,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi iaitu Fahmi Fadzhil mengarahkan pihak Finas meneliti isu gaji pelakon kanak-kanak bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan ke atas mereka.

Fahmi menyatakan pendapatnya bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berhubung langkah bagi melindungi hak dan keselamatan pelakon kanak-kanak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok