Finalis Akademi Qurra’ 2024 berbakat tetapi ‘terdesak’

MINGGU separuh akhir Akademi Qurra’ 2024 menyaksikan penyingkiran dua peserta, Tilmiz Nabil dan Tilmiz Taufiq sekali gus melayakkan lima lagi peserta mara ke pentas akhir.

Peserta yang layak ke peringkat akhir ialah Tilmizah Syahira, Tilmizah Sholihah, Tilmizah Sofea, Tilmiz Luqman dan Tilmiz Amnan.

Menariknya, Tilmiz Taufiq tersingkir dengan perbezaan hanya satu markah daripada Tilmizah Sholihah sementelah Tilmizah Syahira pula mendapat markah tertinggi.

“Saya memang tidak sangka mendapat markah tertinggi kerana ketika latihan saya bukanlah yang terbaik. Apapun, saya bersyukur dan anggap markah pada pentas separuh akhir ini sebagai motivasi untuk saya lakukan yang terbaik pada final,” ujar Tilmizah Syahira.

Sementara itu, Tilmiz Amnan pula reda andai dirinya tersingkir pada minggu separuh akhir kerana sedar melakukan banyak kesalahan daripada segi tajwid selain tidak memberi fokus seratus peratus.

“Nama saya yang disebut sebagai peserta paling akhir mara ke final. Ketika itu saya sudah reda jika perjuangan saya berakhir di pentas separuh akhir.

“Saya sedar kesalahan yang dilakukan di atas pentas dan saya tidak memberi fokus. Namun, sudah tertulis rezeki saya, jadi untuk final saya akan memperbaiki kesalahan dan cuba sehabis baik,” katanya.

Bakat

Dalam pada itu juri jemputan, Ustazah Rahmas Abdullah yang merupakan juara Tilawah Kebangsaan sebanyak tujuh kali berpendapat, kesemua peserta memiliki bakat yang boleh digilap.

Namun begitu, kekurangan mereka adalah latihan. Menurutnya, untuk menjadi qari dan qariah terbaik latihan memakan masa selama bertahun-tahun.

Suntuk

“Kesemua mereka ada bakat tetapi daripada segi latihan seolah-olah terdesak dan kekurangan masa. Perkara ini yang mengganggu minda mereka ketika bertanding.

“Jika ikutkan untuk mahir berlagu memakan masa bertahun bukan bulan. Tetapi dalam tempoh yang singkat, ke semua peserta dapat melakukan dengan baik, tetapi saya masih belum nampak yang terbaik setakat ini,” kata Ustazah Rahmas.

Menyentuh tentang tugasan untuk peringkat final peserta akan melalui ujian tilawah, tadabur dan duet tarannum bersama selebriti undangan.

Selain itu, terdapat kejutan buat peminat program ini apabila pihak produksi bakal menjemput tiga qari dan qariah legenda untuk mengalunkan ayat suci al-Quran.

Pentas final Akademi Qurra’ 2024 akan berlangsung esok. Program tersebut dihoskan Raqib Majid dan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustazah Sharifah Khasif Fadzillah dan Muhammad Qayyim Nizar.
Mudarris dan Mudarrisah yang menjadi tulang belakang membimbing semua peserta pula ialah Ammar Mukhlis, Suhailah Zulkifly dan Nadia Hashim.

Program Akademi Qurra’ 2024 bersiaran setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi TVAlhijrah.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok