Fatiya tetap salah, netizen jangan cepat jatuh hukum – PU Syed

PENDAKWAH bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed menegur segelintir netizen agar tidak sewenang-wenangnya menghakimi dan menjatuhkan hukuman terhadap orang lain sehingga membuatkan individu itu mengalami gangguan emosi serta bertindak di luar kawalan.

Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd. Bakri Syed Ishak berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas tentang perbuatan pelakon sensasi, Fatiya Latiff yang menggertak untuk keluar dari agama Islam atau murtad, selepas mendakwa tidak tahan dengan tohmahan dan kecaman netizen.

Jelas Syed, jika perbuatan pelakon itu untuk keluar Islam adalah disebabkan kecaman orang ramai, maka netizen akan bertanggungjawab dan mendapat dosa atas perbuatan yang mereka lakukan.

“Dari sudut pandangan Islam, tidak boleh dibuat main-main tentang akidah. Maknanya, kalau disebabkan sesuatu itu menjadi asbab untuk Fatiya melakukan dosa, itu tidak dibenarkan dalam hukum syarak.

Kalau disebabkan kata-kata atau kecaman netizen yang mengutuk atau menjatuhkan hukum sesuka hati, maka netizen juga akan dipertanggungjawabkan jika Fatiya keluar dari agama berikutan tekanan daripada orang ramai.

“Walaupun Fatiya ada melakukan kesalahan, netizen tidak ada hak untuk mengecam perkara yang tidak melibatkan perbuatannya seperti mengutuk fizikal dan sebagainya. Nak menegur, tegur perbuatan. Bukan tegur individu tersebut secara peribadi,” katanya kepada HIBGLAM.

Pada masa sama, Syed turut menegur Fatiya kerana kata-kata yang diucapkan pelakon itu perkara yang serius membabitkan akidah.

Menurut Syed, kalau disebabkan sesuatu perkara itu menjadi asbab untuk Fatiya melakukan dosa, maka perbuatan itu tidak dibenarkan mengikut hukum syarak.

Bagi Fatiya pula, apabila dia sudah ada niat untuk keluar daripada agama, perbuatan tersebut sudah pun dianggap berdosa kerana dia telah berjanji untuk buat kekufuran terhadap Allah SWT.

“Cuma Fatiya belum lagi jatuh murtad. Sekadar syarak tidak membenarkan. Islam sendiri telah mengajar kita untuk memperbanyakkan bersabar. Allah SWT sendiri telah menyebut dalam al-Quran bahawa aku pasti akan uji kalian dan sedikit rasa takut kehilangan harta benda,” jelasnya.

Sehubungan itu, Syed menasihatkan Fatiya untuk bersabar dan memohon kepada Allah untuk diberikan kekuatan.

Kita tidak berada di tempat dia dan tidak tahu sitausi yang dialaminya. Apa yang boleh saya nasihat, banyakkan bersabar.

“Kedua, dekatkan diri kepada Allah, hadir ke majlis-majlis ilmu dan pilih kawan atau orang yang boleh membimbing ke jalan yang baik.

Terakhir sekali, muhasabah diri. Fikir balik kenapa netizen bertindak demikian sehingga mereka tidak berkenan,” katanya.

Terdahulu, Fatiya atau nama lengkapnya Nur Fathia Abdul Latiff memberi amaran keluar agama gara-gara sering menerima kritikan melampau segelintir individu dalam media sosial.

Bagaimanapun, Fatiya tidak menjelaskan secara terperinci punca dia sakit hati sehingga mengakibatkannya mengeluarkan kenyataan sanggup murtad. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok