BUKAN mahu menegakkan benang yang basah, pelakon sensasi Aliff Aziz tampil berjanji akan menjelaskan situasi sebenar yang berlaku susulan kes tangkap khalwat bersama pelakon Ruhainies, awal pagi Sabtu (semalam).
Menerusi hantaran yang dimuat naik Aliff dalam InstaStory miliknya, suami kepada Bella Astillah itu berkata, kejadian tangkap khalwat yang heboh diperkatakan sejak awal pagi semalam, tidak seperti apa yang digembar-gemburkan.
Aliff yang dibebaskan dengan jaminan berkata, terlalu banyak spekulasi dan berita berlebih-lebihan disebarkan berhubung serbuan dan penangkapan
yanh dilakukan Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) tersebut.
“Assalamualaikum kepada semua. Berdasarkan situasi yang berlaku sejak semalam, terlalu banyak spekulasi dan laporan berlebih-lebihan terhadap perkara sebenar apa yang telah berlaku.
“Tetapi saya faham, tanggapan semua kerana keadaan tersebut telah menimbulkan syak wasangka yang boleh menimbulkan fitnah.
“Seharusnya, keadaan dapat dielakkan, tetapi saya akan memberikan keterangan tentang apa yang berlaku sebenarnya nanti bagi mengelak lebih salah faham tentang apa yang terjadi,” tulisnya.
Ujar Aliff, tujuannya bukanlah untuk mengatakan dirinya tidak bersalah, tetapi sekadar ingin berkongsi kejadian sebenar untuk mereka yang mahu mendengarnya.
“Bukan ingin menegakkan benang yang basah, sekadar berkongsi kepada yang ingin mendengar, insya-Allah.
“Selebihnya saya memohon maaf atas apa yang terjadi dan semoga keterangan yang akan saya sampaikan nanti, sedikit sebanyak dapat menerangkan tanggapan semua. Insya-Allah,” ujarnya.
Awal pagi semalam, media melaporkan Aliff sebagai selebriti berstatus suami orang dan pelakon wanita Ruhainies dicekup berkhalwat dan bersekedudukan di sebuah kondominium mewah dipercayai kediaman Ruhainies sendiri.
Tangkapan yang dibuat Jawi difahamkan berdasarkan maklumat orang awam.
Kekecohan penangkapan tersebut turut mengheret isteri Aliff, Bella Astillah bersama adiknya, Didi Astillah ke lokasi kejadian dan pejabat Jawi untuk urusan mengikat jamin.
Aliff dan Ruhainies juga telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu tarikh perbicaraan di Mahkamah Syariah dalam masa terdekat. -HIBGLAM