PENYAMPAI radio Tyzo memaklumkan dilamar empat stesen radio dan akan mengumumkan stesen pilihannya esok.
Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris menzahirkan rasa syukur kerana masih menjadi pilihan stesen radio tanah air yang berminat menggunakan khidmatnya sebagai penyampai.
“Alhamdulillah, saya menerima tawaran daripada empat stesen radio dan akan mengumumkan pilihan saya esok memandangkan hari terakhir bersama Suria FM adalah pada 9 Mac nanti.
“Saya tak sabar nak habis (kontrak) dengan Suria FM dan mahu bersiaran lagi selepas beberapa bulan meninggalkan konti.
“Saya belum boleh kongsikan lagi stesen mana sebab masih dalam perbincangan terakhir dan belum ada kata putus. Lagi pun saya tak tandatangani apa-apa lagi. Jadi tak banyak yang boleh saya perkatakan,” katanya kepada HibGlam.
Tyzo ketika ditemui di majlis perasmian Fiesta PERKESO Membawa Senyuman di pusat beli belah My Town, di sini, semalam, berkata, dia tidak boleh berkongsi lanjut mengenai perkara itu bagi menghormati pihak pengurusan stesen radio tersebut dan percaya pilihannya adalah yang terbaik untuk kelangsungan kariernya pada jangka masa panjang.
“Dalam sehari dua ini saya baru nak putuskan bersama pihak pengurusan. Saya pun tak nak tunggu lama sebab terlalu ramai yang bertanya. Insya-Allah Isnin nanti saya akan berterus-terang.
“Apa yang boleh diberitahu, saya memilih stesen itu kerana boleh menjamin kehidupan saya.
“Tak kisah stesen swasta atau kerajaan sekalipun, saya harap dapat sokongan pendengar. Jujurnya saya tidak sabar sebab sudah dua bulan tidak ke udara sehingga terpaksa buat podcast sendiri,” katanya yang bakal memulakan tugas baharunya pada Sabtu depan.
“Sebelum menunaikan umrah saya berdoa kalau diizinkan terus menyampaikan sesuatu yang baik dan memberikan manfaat kepada orang menerusi kata-kata saya, berilah saya pelung untuk berada dalam bidang ini.
“Kalau tidak, tukarkanlah saya dalam bidang lain. Mungkin saya tak mampu dari segi kewangan, tapi insya-Allah saya boleh membantu dalam bidang ini.
“Alhamdulillah, pada 29 Februari lalu saya bersama pelakon, Putra Amaris ada menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Kasih Tyzo yang akan beri manfaat kepada anak yatim, orang tua, asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) dan artis-artis,” katanya.
Tyzo berharap permulaan baharunya itu akan memberikan peluang yang lebih baik buat dirinya selain meneruskan siaran podcast dalam laman TikTok miliknya.
Selepas lapan tahun bersama Suria FM, khidmat Tyzo sebagai penyampai bagi segmen Suria Petang di stesen radio berkenaan ditamatkan Pada 12 Januari 2024.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin memberi alasan, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Tyzo yang juga pemenang anugerah Penyampai Radio Popular Anugerah Bintang Popular (ABP) ke-35 pada tahun lalu, pernah bersama Suria FM pada 2007 namun meninggalkan stesen berkenaan selepas enam tahun berkhidmat.
Selain Suria FM, Tyzo juga pernah berkhidmat di stesen radio Muzik FM pada 16 Julai 2004 selain menyertai Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM. – HIBGLAM.