Diana Danielle enggan hamil lagi

Cukup dua anak, saya tak mahu tambah lagi.”

Demikian kata pelakon jelita Diana Danielle sekali gus berharap orang ramai berheti membuat spekulasi tidak benar dirinya berbadan dua hanya kerana kelihatan makin berisi berikutan pertambahan berat badan mendadak.

Pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 32, itu berkata, dia kini selesa menjalani kehidupan sebagai ibu kepada sepasang cahaya mata yang sudah pandai menguruskan diri sendiri.

“Saya tahu, mungkin ada yang menganggap saya pentingkan diri apabila berkata begini. Insya-Allah, saya betul-betul tidak mahu tambah anak.

Bukan sebab saya tidak menghargai rezeki dikurniakan cahaya mata pada usia sekarang, tetapi memang saya tidak mahu lagi,” katanya menerusi video yang dikongsikan dalam TikTok.

Berikutan itu, isteri kepada aktor Farid Kamil itu meminta supaya orang ramai mengerti dan menghormati keputusan itu.

Saya mula bekerja sepenuh masa ketika remaja dan memiliki anak pada usia awal 20-am. Ketika ini anak-anak saya sudah besar dan kerjaya saya juga stabil,” jelasnya.

Bagaimanapun, pelakon filem Imaginur itu menyokong pasangan suami isteri yang berhasrat memiliki ramai zuriat bagi memeriahkan lagi kehidupan mereka.

Anak-anak saya sudah bersekolah. Jadi saya boleh menguruskan hal saya dan berjumpa dengan mereka selepas waktu sekolah.

“Jadi kenapa saya perlu kembali semula kepada rutin menukar lampin, menyusukan anak dan tidak dapat tidur malam? Ini pilihan peribadi saya.

Jika orang lain mahu tambah ramai anak, saya sokong, cuma perkara itu bukan untuk saya,” tegasnya.

Menyentuh perubahan fizikalnya, Diana berkata berat badannya telah bertambah 15 kilogram (kg) disebabkan pembantu rumahnya pandai memasak.

Walaupun kelihatan lebih berisi berbanding sebelum ini, Diana mengakui tidak kisah malah tidak pernah berasa malu meski ada pihak mempertikaikannya.

“Jangan buat sebarang spekulasi seolah-olah saya hamil kerana berat badan bertambah 15kg.

Saya tidak pernah ada pembantu rumah yang pandai memasak tapi sekarang, setiap kali balik ke rumah, sentiasa ada makanan sedap. Pembantu saya pandai masak.

“Saya tidak sedar berat badan bertambah walaupun baju dan seluar sudah tidak muat,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok