Dazrin Kamarudin melekat julukan ‘Bos Karpet’

BUKAN melupakan kerjaya seni tetapi kini fokus utama pelakon Dazrin Kamarudin tertumpu kepada bidang perniagaan yang semakin berkembang.

Peralihan kerjaya tidak bermakna dia melupakan dunia lakonan sebaliknya hanya memberi lebih fokus terhadap bisnes kilang karpet yang diceburinya sejak lapan tahun lalu.

Menafikan dakwaan ramai yang mengatakan dia sudah bersara sebagai pelakon, Dazrin, 36, menegaskan masih menerima tawaran berlakon sehingga hari ini.

Saya tak pernah bersara pun cuma tak nafikan bahawa aktiviti seni saya agak perlahan memandangkan fokus kini banyak ditumpukan kepada perniagaan.

“Mungkin ada yang sudah lupa bahawa saya seorang pelakon. Hari ini, kebanyakan generasi baharu tak tahu saya pelakon. Orang lebih kenal dengan gelaran Bos Karpet,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Tuturnya, gelaran tersebut tidak sekalipun membuatkan dirinya berkecil hati kerana secara tidak langsung membuktikan strategi pemasaran bisnesnya berjaya meninggalkan impak kepada orang ramai.

Pergilah setiap lokasi sekalipun, orang akan panggil saya begitu. Melekat pula gelaran itu tetapi saya tak terasa hati pun sebab rasa benda itu macam kelakar pun ada.

“Saya perlu bersyukur sebab itu menunjukkan jenama perniagaan saya semakin dikenali ramai,” ujar anak jati kelahiran Klebang Melaka itu.

Tegasnya, perkataan bersara tidak pernah terlintas dalam fikirannya memandangkan rasa cintanya terhadap dunia seni tak pernah pudar.

MESKI sibuk menguruskan perniagaan, kecintaan Dazrin terhadap dunia lakonan tidak pernah luntur.

Ujarnya, setiap tawaran yang hadir perlu dipertimbangkannya kerana kebanyakannya menuntut komitmen yang tinggi.

“Buat masa ini, saya tak mahu sia-siakan segala yang diusahakan untuk perniagaan karpet dan setiap kali ada tawaran berlakon, memang saya perlu pertimbangkan terlebih dahulu.

Sebenarnya, ada sahaja tawaran yang hadir sekali gus menunjukkan nama saya masih relevan. Penerbit serta pengarah yang tak pernah lupakan saya.

“Terdapat tawaran lakonan yang saya terpaksa tolak walaupun watak itu memang dicipta untuk saya. Perkara itu saya rasa bersalah, insya-Allah mungkin dalam masa terdekat, saya akan kembali aktif berlakon,” katanya.

Berkongsi tentang perniagaan karpet, syarikatnya turut menyalurkan bantuan amal kepada masjid-masjid di seluruh negara yang mengalami kekangan bajet untuk proses penukaran karpet.

“Syarikat saya sudah lakukan program infaq kepada lebih 2,000 masjid di seluruh negara.

Mana-mana masjid yang tak cukup dana untuk menggantikan karpet baharu, kami akan tambahkan dana untuk mencukupkan jumlah yang diperlukan selain menawarkan khidmat pemasangan.

“Bersempena Ramadan, kami juga membuka ruang untuk berbuka puasa secara percuma untuk orang ramai dan para pelanggan di gudang kami di Shah Alam setiap hari sepanjang bulan mulia ini,” kongsinya.

Sementara itu, dia yang pernah popular menerusi drama Jodoh turut menyimpan hasrat untuk membantu rakan-rakan artis yang mahu mencari peluang pekerjaan di syarikatnya.

Inisiatif tersebut tercetus selepas menyedari hakikat bidang seni tidak mampu memberi jaminan pekerjaan terutama bagi menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya terbuka untuk menerima jika ada rakan-rakan artis yang mahu bekerja dengan saya tetapi setiap pengambilan akan ditapis dengan teliti dari segi kemampuan, karisma dan energi.

“Bukan memilih tetapi saya menjalankan perniagaan dan mereka yang hendak bekerja juga perlulah mampu memberi hasil setimpal.

“Saya harap tiada salah faham. Apapun, saya sokong jika mahu lakukan perubahan dalam hidup dan akan bantu sekiranya bersesuaian,” ujarnya seraya memberikan noktah bicara. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok