Dari cinta lokasi ke jenjang pelamin

KISAH cinta selebriti Korea Selatan sentiasa mencuri perhatian peminat seantero dunia sehingga ramai mengikuti rapat sisi peribadi artis kesayangan mereka.

Hasil semakan menunjukkan kecenderungan penggiat seni negara itu memilih pasangan dalam kalangan rakan industri terutama selepas menjalin kerjasama.

Situasi itu membuatkan peminat teruja dan merestui pasangan yang memutuskan melangkah ke jenjang pelamin.

Daebak bawakan beberapa kisah pasangan yang bertemu kerana kerja dan akhirnya menyimpul kasih sebagai pasangan suami isteri.

  • Haha, Byul

UMUM mengetahui nama penyanyi Haha mula terkenal selepas muncul dalam rancangan realiti popular, Running Man, manakala Byul pula merupakan penyanyi yang berjaya menempatkan diri dalam industri selama bertahun-tahun.

Takdir menemukan mereka dalam sebuah rancangan radio seterusnya pemilik nama sebenar Kim Go-eun itu meluahkan perasaannya terhadap Haha.

Selepas bertahun-tahun menjalinkan hubungan, mereka disatukan pada 30 November 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata.

  • Taeyang, Min Hyo-rin

KISAH pertemuan penyanyi Taeyang dan pelakon Min Hyo-ri boleh dikatakan sangat romantik persis novel cinta.

Pasangan terbabit berkenalan lebih dekat semasa menjalani penggambaran video muzik berjudul 1 AM pada 2014.

Rakan baik Taeyang, G-Dragon yang mengesyorkan nama Hyo-rin untuk tampil dalam video muzik itu.

Tidak terhenti disitu, mereka akhirnya bercinta selama beberapa tahun sebelum mendirikan rumah tangga pada 3 Februari 2018.

Taeyang sering menunjukkan sisi romantiknya apabila kerap menulis surat selain mencipta lagu Eyes, Nose, Lips yang didedikasikan kepada aktres berusia 38 tahun itu.

  • Son Ye-jin, Hyun Bin

SELEPAS drama Crash Landing On You ‘menawan’ dunia, rata-rata peminat berharap pasangan Son Ye-jin dan Hyun Bin disatukan.

Menerusi drama terbabit, mereka mempamerkan keserasian yang luar biasa termasuk ketika menjalani temu bual bersama media.

Selepas menempuh pelbagai kontroversi percintaan, mereka akhirnya merealisasikan impian peminat dengan mengadakan perkahwinan tertutup pada 31 Mac 2022.

Tidak lama kemudian, cahaya mata sulung mereka dilahirkan pada 27 November 2022 dan bahagia menikmati pengalaman sebagai ibu bapa.

  • Rain, Kim Tae-hee

SELEPAS bekerjasama dalam penggambaran sebuah iklan kira-kira 10 tahun lalu, penyanyi Rain dan Kim Tae-hee mendirikan rumah tangga pada 19 Januari 2017.

Pemilik nama lengkap Jung Ji-hoon itu mula tertarik dengan Tae-hee setelah melihat wanita itu berdikari di set penggambaran tanpa mengharapkan penata gaya.

Sebelum memenangi hati pelakon drama Hi Bye, Mama! itu, cinta Rain ditolak sebanyak lima kali sehingga membuatkan dia hampir berputus asa.

Dia bagaimanapun berjaya memenangi hati Tae-hee. Rain yang merupakan penganut ateis sanggup menyertai Katolik demi mengahwini Tae-hee.

  • i Sung, Lee Bo-young

PERTEMUAN pada 2004 ketika menjalani siri televisyen berjudul Save Last Dance For Me membuatkan pasangan Ji Sung dan Lee Bo-young jatuh cinta pandangan pertama.

Pada 2007 mereka mengumumkan bercinta dan bertunang enam tahun kemudian.

Pada tahun sama iaitu 27 September, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga di Aston House, W Seoul Walkerhill Hotel.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok