KALI terakhir beraksi dalam drama adalah pada 2010. Sehingga kini, sudah begitu lama masa diambil Shaheizy Sam untuk kembali ke gelanggang yang pernah menjadi ‘taman permainannya’ suatu ketika dulu.
Bukan tidak sudi apatah lagi menjauhkan diri, tetapi zon selesa bermain filem sedikit menghalang lelaki yang mesra disapa Sam itu berlakon drama. Jadual kerja juga menjadi asbab pilihan ‘berehat’ dari dunia drama terpaksa diputuskan.
Ironinya juga, jika mahu kembali bergelumang di lokasi drama, banyak yang perlu dipertimbangkan pemilik nama penuh Shaheizy Sam Abd. Samad itu.
Tutur adik kepada pelakon, Zizie Ezzete itu, untuk drama, banyak perubahan telah berlaku, termasuk cara dan waktu bekerja yang dilihat mencabar kudratnya sebagai seorang pelakon.
Selepas lapan tahun dan kembali ke gelanggang drama, waktu bekerja semua pun sudah berubah. Agak ‘jammed’ (tersekat) namun semua berjalan lancar walaupun saya terpaksa cuba serasikan diri
“Permainan dalam drama pun berbeza daripada filem. Saya terpaksa ubah cara kerja terutama dari aspek energi kerana drama memerlukan tenaga lebih besar,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Terbuka hati untuk menerima tawaran drama bersiri, Sam juga bersyukur kembali berpeluang bekerja dengan pengarah kegemarannya, Feroz Kader untuk naskhah Takdir Itu Milik Aku.
Sebenarnya ketika ini saya tengah bersedia untuk sebuah projek filem tetapi selepas melihat tawaran ini dan pengarahnya, saya terima.
“Feroz adalah pengarah kesukaan saya, dahulu pernah bekerja dengannya dan memang seronok,” tuturnya.
Beralih topik tentang perihal industri hiburan tanah air, Sam teruja dengan isu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan pelaksanaan kontrak standard melibatkan kru, pelakon dan penerbit dengan klausa terperinci berhubung isu kerja lebih masa.
Difahamkan, standard tersebut bertujuan menyelesaikan isu kerja lebih masa dan perkara berbangkit lain berkaitan kebajikan pekerja di belakang tabir.
Pada usia 40-an, Sam juga enggan menempuh pengalaman perit bekerja lebih 20 jam sehari seperti sebelum ini.
Bintang Polis Evo itu bahkan menyarankan, waktu bekerja untuk pelakon dan kru produksi dihadkan maksimum 12 jam sahaja.
Rasanya kalau ditetapkan 12 jam sehari, masing-masing akan buat kerja dengan lebih efisien dan sistematik.
“Kalau waktu pekerja lain biasanya lapan jam. Mereka masuk pejabat terus bekerja, tapi untuk pelakon dan kru adalah berbeza sebab kami di tempat (berbeza), perlu masa untuk set up banyak benda.
“Sebab itu saya rasa 12 jam sehari sudah memadai untuk semua penggiat seni,” katanya yang popular menerusi filem Adnan Sem-Pit itu.
Sam bagaimanapun menegaskan apa yang disuarakan bukanlah satu bentuk tuntutan peribadi, sebaliknya untuk kesejahteraan semua pihak dalam tempoh bekerja.
“Setiap kali tanda tangan kontrak, saya akan letak syarat iaitu tempoh maksimum bekerja hanya 12 jam sehari.
Kadang-kadang orang lain rasa ini ‘demand’ semata-mata tetapi perlu ingat, pelakon akan menggunakan mental dan fizikal apabila bekerja. Tenaga diberikan sepenuhnya untuk lakonan.
“Ketiga-tiga faktor ini tidak akan berjalan lancar sekiranya seseorang pelakon itu kepenatan,” tuturnya lagi.
Dalam pada itu, dia yakin penetapan tempoh kerja yang digariskan Finas bertujuan mengelak tenaga pekerja bersikap sambil lewa ketika melaksanakan tugas masing-masing.
“Jika tiada penetapan waktu bekerja, segelintir pekerja adakalanya ambil ringan seperti sengaja melengah-lengahkan tugas yang sepatutnya boleh disiapkan pada hari berkenaan.
Apabila kerja tidak serius dan komited bekerja, perkara sebegitu yang boleh memanjangkan, sekali gus berisiko berlaku pertambahan tempoh penggambaran.
“Sepatutnya 12 jam boleh diselesaikan tapi berlanjutan 15 hingga 25 jam. Itu semua yang saya sendiri pernah lalui harap akan ada perubahan yang positif untuk industri seni kita,” katanya mengakhiri perbualan.
Baca artikel penuh di Kosmo! Online atau dapatkan akhbar secara fizikal di kedai-kedai berdekatan. – HIBGLAM