TAMPIL dengan segerombolan kanak-kanak sebagai penari latar di atas pentas, penyanyi Naqiu yang menggantikan Faizal Tahir menyanyikan lagu Santai memikat hati penonton dengan aksi lincah dan menghiburkan ketika membuat persembahan Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38).
Lebih menarik, persembahan penyanyi itu kelihatan comel apabila mengenakan kemeja lengan pendek berwarna merah jambu, sekali gus membuatkan penampilannya kelihatan cukup menghiburkan.
Seperti kelazimannya ketika membuat persembahan di atas pentas, Naqiu bersungguh-sungguh mempamerkan aksi tarian mengikut rentak muzik dan sesekali mempamerkan senyuman yang memikat.
Naqiu ketika ditemui sebelum ini berkata, dia tidak mahu memikirkan soal kalah menang, sebaliknya hanya mahu berhibur di atas pentas dan tampil dengan persembahan yang boleh membuatkan penonton ikut gembira.
Santai ciptaan penyanyi asalnya, Faizal Tahir bersama Ezra Kong menjadi antara lagu yang bakal memberi saingan sengit di pentas AJL38 apabila turut disebut-sebut berpeluang membawa trogi lagu terbaik. – HIBGLAM