Che Ta pernah tinggal rumah flat, tak lahir terus mewah

TIDAK seindah yang disangka, pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan, 51, mendedahkan pernah hidup susah dan tinggal di kawasan flat sebelum mengecapi kemewahan seperti hari ini.

Wanita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia juga bukan dilahirkan sebagai anak orang berada.

“Saya dilahirkan bukan anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun. Emak pula seorang suri rumah dan tidak pernah bekerja seumur hidupnya. 

“Emak juga terpaksa buat macam-macam kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah neneklah yang menjaga kami adik beradik.

“Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain, pun,” katanya.

Pramugari

Cerita Che Ta, kehidupannya sekeluarga mula berubah apabila dia bekerja sebagai pramugari pada usia 17 tahun dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

“Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi bercerai pada usia 30 tahun.

“Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun  naik mahkamah ketika itu. 

“Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta kembali ke bidang peragaan dan mula terjun bidang lakonan untuk menyara diri dan anak-anak,

“Kaum  wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki.

“Saya sendiri, apabila bercerai tak dapat harta apa pun. Selama 10 tahun, saya hidup menjanda sampailah saya berkahwin semula,” kata isteri kepada pelakon Zain Saidin itu.

Tambah Che Ta lagi, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.

“Saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi tidak terlalu lewat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.

“Tapi, sampai bila saya nak berlakon sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan,” katanya ketika ditemui pada sesi bual  bicara Kemandirian Wanita bersama Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed anjuran Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di pusat beli-belah My Town Kuala Lumpur.

Terdahulu, majlis  pelancaran kempen Fiesta PERKESO Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. 

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Tunggak keluarga

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.

Menurutnya, sebelum ini suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka.

“Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan  pelbagai faedah termasuk kematian.

“Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim sebegini.

“Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis,” katanya.

Acara turut disemarakkan kehadiran lebih 10 artis yang menjadi pempamer selama tiga hari program PERKESO Membawa Senyuman. Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha dan Darling Ngasri. HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok