“DIA menjual bakat dan tidak hanya bergantung kepada rupa kacak semata-mata.”
Demikian sering diluahkan pelakon dan anggota kumpulan idola Korea Selatan, ASTRO, Cha Eun-woo yang kini cemerlang mengukuhkan kerjaya seninya.
Sedar persaingan sengit di sekelilingnya, Eun-woo tanpa lelah ‘menjaja’ bakat seni dimiliki walaupun sehingga hari ini kerap dihujani kecaman dan dilabel pelakon ‘kayu’.
Hakikatnya, itu harga perlu yang harus dibayar demi memastikan kerjaya seni sejak 10 tahun lalu tidak terkubur begitu sahaja.
Menyingkap semula, popularitinya dalam dunia lakonan memuncak selepas tampil sebagai pelakon utama dalam drama popular, True Beauty bergandingan dengan Moon Ga-young dan Hwang In-youp.
Bermula sebagai penyanyi sebelum bergelar pelakon, bintang berusia 26 tahun itu mengakui kedua-dua bidang ada cabaran tersendiri tetapi dunia lakonan dilihat lebih ekstrem.
“Matlamat saya ketika ini adalah untuk mengambil pelbagai watak dan mahu meninggalkan impak kepada penonton.
“Saya bukan jenis artis yang suka mengejar perhatian, sebaliknya sentiasa yakin bahawa hanya kekuatan dan potensi diri akan membawa nama ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Katanya, dia sentiasa memberi sepenuh komitmen dan kesungguhan dalam setiap watak bagi membalas sokongan peminat setianya selama ini.
“Itu adalah cara terbaik untuk membalas semula kasih sayang dan sokongan daripada sesiapa pun yang menghargai serta bersorak buat saya,” katanya yang turut membintangi drama A Good Day To Be A Dog terbitan Viu itu.
Dalam masa sama, Eun-woo enggan meletakkan sasaran dalam kamus kerjayanya. Dia hanya mahu melalui pengalaman indah bersama peminat, muzik dan dunia lakonan.
“Kalau boleh mahu terus bertemu dengan ramai individu berkaitan kerja dan muzik seperti yang dilakukan kini.
“Namun, saya tetap berharap kerjaya seni terus berpanjangan dan dapat terlibat dengan pelbagai projek hebat di peringkat domestik mahupun antarabangsa,” jelas pemilik nama sebenar, Lee Dong-min itu.
Berkongsi mengenai komitmen kerjaya, Eun-woo mengakui fikirannya tidak pernah terlepas memikirkan perihal kerja meskipun sedang bercuti.
“Apabila saya bercuti, saya memang cuba untuk tidak memikir mengenai kerja, namun saya ada tabiat mencatat nota setiap kali ada perkara yang terlintas dalam fikiran,” tuturnya.
Konsert di Malaysia
Baru-baru ini, aktor kacak itu sempat singgah di Malaysia bagi menjayakan konsert Just One 10 Minute Mystery Elevator di Stadium Malawati Shah Alam pada 24 Februari lalu.
Dalam durasi dua jam konsert terbitan Viu Malaysia tersebut, Eun-woo memikat lebih 4,000 peminatnya dengan sisi berbeza.
Bukan setakat menyanyi dan menari, dia turut melakukan beberapa cabaran seperti belajar bertutur bahasa Melayu dan melakukan beberapa aksi lucu, termasuk berlakon melutut melamar dengan memegang sebentuk cincin.
Antara momen paling diingati, pastinya ketika Eun-woo memanggil peminatnya ‘sayang’ sekali gus mengundang jeritan ‘histeria’ daripada peminat wanita.
Dia turut meluahkan hasrat mahu melawat destinasi percutian di Malaysia, termasuk Kota Kinabalu, Sabah.
“Kalau diberi pilihan, saya sangat mahu melawat Kota Kinabalu. Anda mahu pergi bersama saya?” katanya.
Menerusi segmen bual bicara, Eun-woo ditanya beberapa soalan mengenai dirinya dan termasuk rutin sebelum tidur.
“Sebelum saya tidur, saya fikirkan mengenai anda dan pada waktu pagi, saya tutup jam dan fikirkan mengenai anda juga,” jawabnya.
Eun-woo membuka tirai konsert dengan menyanyikan lagu popularnya iaitu 10 Minutes, F*cking Great Time dan Stay yang dipetik dari album solo terbaharunya, Entity.
Sebagai kejutan, dia turut mendendangkan lagu yang dipopularkan Backstreet Boys, As Long As you Love Me. Lagu-lagu lain yang dinyanyikan termasuklah, First Love, You Blow, Knock, Candy Sugar Pop, Jealousy, Alone With You, Sailing, Memories, You’re The Best dan Love So Fine.
“Januari lalu, saya sempat ke sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur dan kini saya gembira dapat kembali bertemu anda semua di sini.
“Terima kasih atas sokongan,” katanya yang juga popular dengan drama My ID is Gangnam Beauty.
Ternyata, ketampanan dan kemesraannya berjaya mencairkan hati ramai dalam tempoh yang singkat pada malam itu selari dengan konsep konsert tersebut iaitu mahu membuat penonton jatuh cinta kepadanya dalam tempoh 10 minit. – HIBGLAM