Bukan tangkap basah, hati-hati menulis – Ruhainies

BUKAN tangkap basah”.

Demikian penegasan pelakon Ruhainies berhubung laporan penangkapan dan serbuan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan ke atasnya di sebuah kondominium mewah di ibu negara bersama selebriti asal Singapura, Aliff Aziz pada awal pagi Sabtu lalu.

Enggan mencetuskan lebih banyak spekulasi liar, pemilik nama lengkap Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, itu mengingatkan semua berhati-hati dalam penulisan agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Katanya, penggunaan istilah tangkap basah tersebut perlu diperbetulkan bagi mengelakkan salah faham mahupun kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Salam, ingin saya perbetulkan di sini, hati-hati dengan penulisan tajuk atau isi di dalam konten supaya tidak menimbulkan spekulasi lebih buruk, lebih mengelirukan dan mengeruhkan lagi keadaan.

“Itu sama sekali bukan tangkap basah,” kongsinya bersama paparan artikel berkaitan dalam hantaran dibuat menerusi Instagram Story.

TANGKAP layar kenyataan Ruhainies yang mengingatkan semua pihak agar berhati-hati menulis perihal kes tangkapan khalwat membabitkan dirinya baru-baru ini.

Pelakon drama Terjerat yang belum memberikan kenyataan rasmi itu turut meminta media tidak menulis artikel yang memberi impak negatif.

“Sehingga kini saya masih belum berikan apa-apa kenyataan. Segala yang dikeluarkan di media bukanlah ‘statement’ daripada saya dan tidak tepat.

Saya mohon supaya media tidak menulis apa-apa yang boleh mengundang provokasi atau pun fitnah sehingga saya mengeluarkan kenyataan rasmi daripada saya sendiri.

“Saya minta kerjasama semua pihak supaya lebih bertanggungjawab,” ujarnya lagi dalam perkongsian sama.

Awal pagi Sabtu lalu kecoh berita tangkapan khalwat membabitkan Aliff yang juga suami pelakon Bella Astillah dengan Ruhainies.

Aliff dan Ruhainies kemudiannya dibawa ke pejabat Jawi pada awal pagi, seterusnya dibebaskan dengan jaminan sementara menanti pendakwaan pada satu tarikh lain dalam masa terdekat.

Ruhainies dan Aliff juga dilaporkan meninggalkan pekarangan pejabat Jawi kira-kira pukul 2 petang, Sabtu lalu.

Selepas itu, dalam hantaran media sosial mereka berjanji akan memberikan kenyataan lanjut berhubung kontroversi berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok