DISANGKA mendapat dana, pelakon Jasmine Suraya tampil membuat pencerahan dengan menegaskan pengajiannya di Los Angeles, Amerika Syarikat adalah menggunakan wang simpanan sendiri.
Pemilik nama sebenar Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 35, itu berkata, dia perlu menjelaskan perkara sebenar bagi mengelakkan kekeliruan susulan dakwaan bakal menyambung pengajian April ini atas bantuan kerajaan.
Kenyataan mengatakan pihak kerajaan memberikan dana kepada saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah tidak benar.
“Saya tidak mengharapkan sepenuhnya bantuan kewangan kerana saya sudah membuat persiapan dengan menyimpan wang sejak awal lagi.
Ingin saya nyatakan di sini, saya tidak pernah memohon dana secara terus kepada kerajaan atau badan lain yang tiada kaitan dengan bidang seni di Malaysia,” katanya.
Pelakon drama KL Gangster: Underworld 2 berkongsi kenyataan tersebut dalam Instagramnya susulan kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang disalah erti sesetengah pihak apabila menyangka dia mendapat pembiayaan penuh kerajaan.
Kata Jasmine lagi, Fahmi hanya memberikan respons akan meneliti isu pemberian dana kepada penggiat seni secara am, bukan meluluskan pembiayaan pengajiannya.
“Kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini telah disalah erti dan membuka ruang kepada pelbagai andaian yang jauh daripada konteks sebenar.
Fahmi tidak pernah sesekali bersetuju untuk memberikan dana atau bantuan.
“Bagaimanapun beliau menyatakan dengan jelas dalam satu temu bual akan meneliti isu dana dan anak-anak seni,” ujarnya.
Pada masa sama, Jasmine juga tidak melihat keputusan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat sebagai satu kesalahan, sebaliknya dilunaskan bagi menambah pengetahuan dan menimba pengalaman di negara orang.
Saya merupakan alumni pelajar Aswara serta Enfiniti Academy. Pendedahan dan penglibatan awal saya dalam bidang seni bermula di institusi tempatan dengan tunjuk ajar figura hebat tanah air.
“Saya rasa tidak salah menimba lebih banyak ilmu dan pengalaman di luar negara yang seterusnya mungkin boleh dikongsi serta diaplikasikan dalam industri tempatan,” katanya.
Sebelum ini, penggiat seni asal Sarawak itu mendedahkan memerlukan wang sebanyak RM300,000 hingga RM400,000 bagi melanjutkan pelajaran di Institut Perfileman dan Teater Lee Strasberg.
Kongsinya lagi, permohonan mendapatkan bantuan di beberapa agensi kerajaan dan swasta juga tidak mendapat perhatian sehingga memaksanya menggunakan wang simpanan sendiri selain menjual barangan peribadi termasuk kereta.
Susulan itu, Fahmi memaklumkan kerajaan sedia mempertimbang langkah membantu pelakon terbabit berdasarkan keesuaian, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan kelayakan Jasmine. – HIBGLAM