Bintang Korea Selatan ‘mengaum’ di Hollywood

SETIAP pelakon pasti ada impian mencipta nama di luar negara khususnya Hollywood.
Namun, bukan mudah menembusi gelanggang tumpuan ramai selebriti dunia itu andai nama tidak cukup gah di negara sendiri.

Begitu pun, Korea Selatan menyaksikan ramai bintangnya berjaya meletakkan diri di pentas antarabangsa berikutan impak industri K-Pop serta K-Drama yang menjadi perhatian dunia.

Disebabkan itu, ada beberapa nama besar yang sudah berjaya menembusi pasaran Hollywood dan diperakui kehebatan mereka.

Lee Byung-hun

LATAR belakang Lee Byung-hun yang mampu menguasai banyak bahasa dan mahir dalam pelbagai perkara menarik perhatian ramai.

Aktor berusia 54 tahun itu bukan sahaja fasih berbahasa Inggeris tetapi dia juga boleh bertutur dalam bahasa Perancis dengan baik.

Selepas menunggu watak sesuai, dia akhirnya dilamar membintangi filem G.I Joe dan Storm Shadow.

Tidak terhenti di situ, dia terus diterima baik di Hollywood apabila ditawarkan menjayakan filem Terminator Genisys, Misconduct, The Magnificent Seven, The Fortress dan Keys To The Heart.

Ma Dong-seok

RAMAI tidak tahu Ma Dong-seok sebenarnya tinggal di Ohio dan mempunyai kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS).
Biarpun berpindah ke Korea Selatan untuk mengembangkan karier lakonan, bintang filem Train To Busan itu kembali ke AS bagi menyertai Marvel Cinematic Universe, Eternals pada tahun 2019.

Dalam filem tersebut, Dong-seok memegang watak Gilgamesh yang bangga mempunyai kuasa keabadian maya, stamina tanpa had dan kekuatan manusia luar biasa.

Setelah mempamerkan prestasi cemerlang dalam Eternals, dia dijangka membintangi lebih banyak naskhah hebat Hollywood pada masa akan datang.

Park Seo-joon

SIAPA yang tidak kenal dengan Park Seo-joon yang sememangnya sangat berbakat dalam bidang lakonan.

Dia merupakan antara wajah baharu dalam senarai bintang Korea yang mendapat perhatian di Hollywood.

Difahamkan, Seo-joon menerima banyak tawaran dari Hollywood, namun terpaksa menolak kerana masalah dalaman.
Namun, penantian panjang peminatnya tidak sia-sia apabila aktor berusia 36 tahun itu menyertai Marvel Universe.

Seo-joon membintangi sekuel Captain Marvel pada 2023 tetapi ramai kecewa apabila dia hanya muncul sekejap sahaja dalam filem itu.

Han Hyo-joo

AKTRES hebat ini terkenal di Korea Selatan kerana kecantikan dan bakatnya.

Sebelum menembusi pasaran Hollywood, Han Hyo-Joo aktif memenuhi pelbagai tawaran di Jepun sejak 2009.

Debutnya di Hollywood bermula pada 2019 sebagai bintang utama siri televisyen Amerika berjudul Treadstone.

Dalam drama tersebut, dia mempamerkan pesona semula jadi, kemahiran berbahasa Inggeris dan adegan aksi yang mengagumkan sehingga mendapat pujian pelbagai pihak.

Yoo Teo

DILAHIRKAN di Jerman dan fasih dalam beberapa bahasa memberi peluang kepada Yoo Teo untuk mengembangkan karier lakonannya.

Setakat ini dia sudah membintangi beberapa filem Amerika dan terbaharu adalah Past Lives (2023) sehingga meraih banyak pujian.

Penglibatannya dalam filem produksi AS itu membawa kejayaan apabila tersenarai sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di British Academy Film Awards.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok